Video peras ugut: Polis selesai ambil keterangan 5 individu

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis selesai mengambil keterangan lima individu berhubung dakwaan seorang anggotanya memeras ugut seorang wanita warga China kerana gagal menunjukkan pasport dalam sekatan jalan raya di Bulatan Dato Onn di sini, yang ditularkan di media sosial minggu lepas.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, anggota polis berkenaan adalah antara lima individu yang telah diambil keterangan selain akan memanggil dua lagi individu untuk membantu siasatan.

"Ada lagi dua individu yang akan dipanggil untuk dirakamkan keterangan iaitu pemandu e-hailing yang membawa warga China itu dan seorang lagi wanita warga tempatan yang merupakan rakan kepada wanita itu yang turut berada di dalam kenderaan terbabit,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terbaharu kes berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada penyampaian sumbangan berbuka puasa kepada anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di pekarangan Bazar Ramadan Jalan Raja Alang di sini pada Khamis.

Pada Isnin lepas, Yahaya berkata, polis membuka satu kertas siasatan berhubung penularan video berdurasi satu minit 48 saat itu dan telah mengenal pasti individu dan anggota polis terlibat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, polis juga sedang bekerjasama dengan Interpol dan Jabatan Imigresen bagi mengesan wanita warga China itu yang dipercayai telah meninggalkan negara.

Yahaya berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan kertas siasatan yang lengkap akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan selanjutnya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan penyebaran maklumat di media sosial tanpa sumber sahih dan individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222.

Sebelum ini, tular video berdurasi satu minit 48 saat di aplikasi TikTok memaparkan seorang anggota polis lengkap beruniform melakukan pemeriksaan terhadap individu berlatar belakangkan Memorial Tunku Abdul Rahman di Bulatan Dato Onn. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!