Ahmad Zahid sifatkan kehadiran ke NS sesuatu bermakna
JELEBU - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kehadirannya ke Negeri Sembilan kali ini sesuatu yang bermakna.
Ini kerana katanya, kali ini beliau berkesempatan beramah mesra dengan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin serta pemimpin dari Pakatan Harapan (PH) lain.
"Mana mungkin tahun lepas kita tak dapat berjumpa Yang Berhormat (Aminuddin) kerana beliau dari parti lain dan kita parti lain.
"Tapi hikmahnya dari ALLAH Taala apabila tahun lepas kita tak berjumpa dan tahun ini kita berjumpa dan ia merupakan warna-warna yang berbeza antara kita. Itulah cantiknya bila kita menterjemahkan titah Yang di-Pertuan Agong untuk mewujudkan Kerajaan Perpaduan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Kompleks Pentadbiran dan Khidmat Rakyat Parlimen Jelebu, di sini pada Khamis.
Menurutnya, setiap pihak perlu saling bersangka baik walaupun masing-masing ada perbezaan.
"Ia sesuai dengan akhlak dan adat Islam, sebarang perbezaan perlu ditangani dengan akhlak yang baik. Kaedah itu sepatutnya diterjemahkan oleh kita semua.
"Kita lupakan yang lalu kerana berada di tempat baharu. Sudah pasti biduk lalu kiambang mesti bertaut.
"Dalam keadaan itu kita jalin hubungan baik ini terutama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!