Azalina perjelas isu kebocoran siasatan Hakim Nazlan
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said pada Khamis menjelaskan mengenai isu kebocoran penyiasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata, pada 23 Februari lalu, jawapan lisan telah diberikan di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib dan Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
“Dalam jawapan berkenaan, saya telah menjelaskan bahawa SPRM melalui surat bertarikh 21 Februari telah memaklumkan bahawa satu laporan daripada agensi itu terhadap Mohd Nazlan telah dikemukakan pada tarikh sama kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berhubung pelanggaran peraturan di bawah Kod Etika Hakim 2009.
“Saya juga telah memaklumkan dalam Dewan Rakyat bahawa perkara ini juga tertakluk kepada keputusan Ketua Hakim Negara selaras dengan Fasal-Fasal 3 dan 3A Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Katanya lagi, jawapan balas kepada surat Tetuan Shafee & Co adalah selaras dengan jawapan beliau di Dewan Rakyat.
“Saya juga telah meminta supaya Tetuan Shafee & Co untuk mengemukakan permohonan secara rasmi terus kepada pihak SPRM sekiranya berhasrat untuk mendapatkan hasil siasatan pihak agensi itu berkenaan perkara ini,” ujar beliau.
Azalina sekali lagi menegaskan bahawa apa-apa perkara berkaitan isu berkenaan adalah di bawah bidang kuasa badan kehakiman.
“Kerajaan sentiasa menghormati dan terus berpegang kepada prinsip doktrin pengasingan kuasa,” katanya.
Sebelum ini surat yang didakwa daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki kepada Tengku Maimun tersebar di media sosial beberapa hari selepas Mahkamah Persekutuan Putrajaya menolak permohonan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyemak sabitan dan hukumannya berhubung penyelewengan dana Syarikat SRC International Sdn Bhd.
Surat yang bertarikh 20 Februari itu menyatakan siasatan SPRM mendapati terdapat isu salah laku oleh Mohd Nazlan yang perlu dipertimbangkan oleh ketua hakim negara.
Pada 24 Februari lalu media melaporkan, panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Tengku Maimun berkata SPRM tidak mengikut protokol ketika menjalankan siasatan terhadap Mohd Nazlan.
Dalam penghakimannya, Tengku Maimun berkata agensi penyiasat seperti SPRM mesti berunding dengan ketua hakim negara sebelum memulakan siasatan terhadap hakim mahkamah atasan.
Pada Julai 2020, Mohd Nazlan yang ketika itu merupakan Hakim Mahkamah Tinggi mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram dana SRC dan memerintahkannya dipenjara 12 tahun serta didenda RM210 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!