Aset ketika senang, dana kecemasan ketika susah
EMAS dikatakan kekayaan manusia yang sebenar kerana nilainya yang sentiasa meningkat dan boleh dijadikan perhiasan, simpanan atau pelaburan menguntungkan.
Tidak hairanlah, walau sesusah mana pun seseorang terutama wanita, mereka akan tetap berusaha memiliki sekurang-kurangnya seurat gelang di tangan atau seutas rantai di leher.
Justeru, janganlah cepat menghukum dengan mengatakan membeli emas itu adalah suatu pembaziran atau mahu berlumba-lumba menunjuk-nunjuk kemewahan kepada orang lain.
Ia mungkin salah satu cara seseorang mahu menabung dan pada masa sama sebagai hadiah kepada diri sendiri.
Mungkin selama ini kita telah cuba menyimpan tetapi kaedah yang kita guna pakai itu sering menyebabkan simpanan tersebut senang ‘bocor’.
Jadi, apa kata kita cuba kaedah lain untuk berjaya capai simpanan dana kecemasan itu.
Kita tukar daripada simpan duit kepada simpan emas. Dengan cara ini kita dapat ‘bekukan’ duit daripada mudah terguna dan terbelanja.
Emas adalah aset mudah cair yang boleh digadaikan pada bila-bila masa sahaja.
Jika terdesak, itulah jaminan dan cagaran sangat bernilai terutama ketika rakyat kini sedang berdepan saat yang mencabar – bagi menampung keperluan harian, perbelanjaan persekolahan anak-anak dan persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Harga emas yang naik sehingga RM287 bagi satu gram, malah dikhabarkan pernah merekodkan nilai tertinggi RM290 sejak awal Mac lalu adalah peluang terbaik untuk direbut dengan menjual semula komoditi itu bagi mendapatkan wang tunai.
Selain emas, aset seperti tanah dan rumah juga adalah pelaburan yang berbaloi. Jadi, melaburlah untuk itu.
Kurangkan tabiat menambah liabiliti dengan membeli barang tidak menguntungkan atau mengejar trend upgrade kereta dan telefon bimbit.
Namun, berhatilah-hatilah. Bijak menilai adalah kata kuncinya. Jangan melabur sehingga lebur.
Yang penting, jangan tambah hutang baharu untuk selesaikan hutang yang ada. Jangan membuat pinjaman di bank jika tiada keperluan mendesak.
Kadangkala kita terlalu sayang dengan emas yang ada tetapi tanpa sedar, emas itulah yang dapat membantu ketika memerlukan.
Mungkin emas yang dikumpul selama ini habis tetapi pada masa sama, kita bebas daripada hutang yang membebankan dan dapat meneruskan kehidupan tanpa berdepan kesulitan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!