Sisa makanan dari bazar Ramadan jadi baja organik

Sharudin
Sharudin
A
A
A

KUANTAN - Kira-kira 200 kilogram (kg) sisa makanan dari Bazar Ramadan Mahkota Square dapat diselamatkan daripada dihantar ke tapak pelupusan sampah setakat 13 Ramadan.

Ini hasil daripada tiga program yang dilaksanakan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang iaitu Program Kompos @ Bazar, ‘Trash to Cash, dan My Save Food di bazar tersebut.

Pengarahnya, Sharudin Hamid berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 89kg lebihan makan yang masih elok telah diagihkan kepada golongan memerlukan dan 55kg lagi adalah barangan yang dapat dikitar semula.

Menurutnya, 56kg sisa makanan pula dijadikan baja kompos selepas pihaknya menempatkan mesin kompos organik di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1.

"Baja kompos yang kita hasilkan melalui pengumpulan sisa makanan daripada pengunjung yang berbuka puasa di padang MBK 1 dan peniaga di bazar terbabit.

"Mesin kompos ini boleh menampung kapasiti 25kg makanan dalam satu-satu masa dan ia beroperasi selama 48 jam. Kita boleh tambah makanan dan meneruskan proses mengkomposkan sisa-sisa seperti biasa.

"Baja kompos dapat dihasilkan dalam masa tujuh hari berbanding 14 hari dengan kaedah konvensional. Jadi, untuk 25kg sisa makan, kita akan memperoleh 30 peratus baja kompos iaitu dalam lingkungan 2 hingga 3kg baja. Baja kompos ini akan berikan kepada kebun komunti yang diusahakan golongan rentan di bandar ini," katanya.

Sharudin melinat proses kompos sisa makanan bagi penghasilan baja.
Sharudin melinat proses kompos sisa makanan bagi penghasilan baja.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan tinjauan ke tapak mesin kompos sisa makanan yang dijadikan baja di Padang MBK 1 di sini pada Khamis.

Sharudin yakin inisiatif itu mampu mengurangkan pembuangan sisa makanan terus ke tong sampah di samping menggalakkan amalan kitar semula.

“Malah kita juga telah membuat perbincangan dengan MBK untuk menempatkan mesin ini di lokasi lain yang strategik selepas ini antaranya di pasar, medan selera atau kawasan perumahan,” ujarnya.

Sharudin memaklumkan pada tahun lalu, pihaknya berjaya mengumpul sebanyak 7,783.40kg barangan kitar semula termasuk minyak masak menerusi program berkenaan yang dilaksanakan diseluruh negeri ini serta berjaya meraih RM4,508.41.

“Kami berharap jumlah itu akan meningkat pada tahun ini malah setakat hari ini, sebanyak 573.50kg barangan kitar semula berjaya dikumpul bersama dengan nilai RM274.55,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!