Fokus pendidikan digital

Meen Tahrin
Meen Tahrin
A
A
A

SHAH ALAM - Karnival Pendidikan Sinar Bestari dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) akan memberi fokus kepada pendidikan digital yang kini merupakan bidang masa hadapan negara.

Editor Eksekutif Gaya Hidup dan Hiburan Sinar Harian, Meen Tahrin berkata, program itu akan memberi pendedahan khusus buat pelajar sekolah dari semua peringkat sehingga universiti mengenai kemahiran, kerjaya dan pendidikan.

“Tema kita adalah #memacupendidikangenerasidigital menekankan aspek kemahiran di samping pendidikan luar bilik darjah agar memberi pengalaman berbeza buat mereka.

“Antara pempamer yang hadir adalah Google, Microsoft, Pusat Sains Negara dan juga TikTok rakan media rasmi kita,” katanya pada Khamis.

Menurut Meen, pelajar masa kini sudah terdedah dengan pendidikan digital dan mereka perlu menambah pengetahuan supaya lebih bersedia di masa hadapan.

Tambahnya, selain memberi pengalaman berbeza, karnival itu turut memupuk kemahiran insaniah seperti keusahawanan, sains dan teknologi.

“Kita bantu dari segi menambah pengetahuan dan pengalaman pelajar yang datang ke program karnival ini seperti jualan Hari Kantin di mana mereka akan didedahkan cara berinteraksi serta menjual barangan kepada pelanggan.

“Kami turut mengadakan uji bakat TV PSS (Pusat Sumber Sekolah) untuk memberi pendedahan berkenaan pengendalian studio kepada pelajar agar dapat merasai pengalaman baharu di samping mengasah kemahiran,” jelasnya.

Beliau berkata, terdapat pelbagai aktiviti menarik yang bakal diadakan buat pengunjung termasuk guru yang hadir ke program berkenaan.

Menurutnya, guru akan menikmati pelbagai diskaun menarik melalui Grup Buku Karangkraf di samping melihat pameran daripada JPNS.

“Mereka yang hadir pada karnival tersebut akan mendapat diskaun kad VIP yang harganya RM10. Namun untuk hari itu sahaja kita beri diskaun sebanyak RM5 dan ia keahlian seumur hidup.

“Antara aktiviti menarik sepanjang karnival ini seperti Sinar Bestari Got Talent, bengkel penulis cilik, e-sukan dan sebagainya selain memperoleh sijil penghargaan peringkat negeri dan juga bagi yang menyertai pertandingan akan turut menerima sijil penyertaan,” katanya.

Ujar beliau, karnival pendidikan itu akan berlangsung selama tiga hari iaitu bermula 10 hingga 12 Mei depan bertempat di Dataran Karangkraf, Shah Alam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!