Tipu pelaburan Planetrade rekod kerugian RM17.5 juta

Gambar hiasan. Gambar kecil: Noorsiah
Gambar hiasan. Gambar kecil: Noorsiah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 92 laporan berkaitan skim penipuan pelaburan 'planetrade' dengan nilai kerugian mencecah RM17.5 juta sejak tahun 2021.

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, sembilan warga tempatan terdiri daripada tiga lelaki dan enam wanita yang terlibat dalam skim pelaburan terbabit ditahan pada tahun lalu.

Katanya, hasil tangkapan itu, suspek utama iaitu dalang skim terbabit telah didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

"Seorang lagi suspek merupakan pengarah syarikat pengendali skim terbabit didakwa di bawah Seksyen 109 dibaca bersama Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Tujuh suspek pula dibebaskan dan dijadikan sebagai saksi pendakwaan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, hasil siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001, PDRM membekukan aset merangkumi 27 akaun bank bernilai RM RM700,533.47.

"Selain itu ialah enam kenderaan bernilai RM1.1 juta dan 11 juta unit saham di empat buah syarikat berkaitan," ujarnya.

Jelasnya, dalam usaha untuk membanteras kegiatan penipuan pelaburan terbabit, PDRM menegaskan bahawa siasatan dijalankan secara terperinci dan menyeluruh.

"Kesemua suspek yang ditahan mempunyai penglibatan dan peranan sama ada menguruskan, mengendalikan dan mempromosikan skim penipuan itu.

"Antara suspek yang ditahan juga ialah pelabur atau mangsa skim yang berperanan sebagai 'authorised introducer' iaitu menerima komisen bagi setiap pelabur yang dibawa masuk ke dalam skim itu," katanya.

Justeru, PDRM menggesa mana-mana individu yang menjadi mangsa untuk tampil segera membuat laporan polis.

"Orang ramai juga dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan melaksanakan semakan terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan," katanya.

Tambahnya, orang ramai dinasihatkan mendapatkan maklumat lanjut daripada sumber rasmi seperti semak mule, alert list Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) sebelum membuat keputusan untuk menyertai skim pelaburan yang meragukan," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!