Pelajar Tingkatan Tiga maut kemalangan
KOTA BHARU - Seorang pelajar Tingkatan Tiga maut manakala rakannya cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kampung Galang Pulai Chondong di sini.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Mohd Adli Mat berkata, kejadian berlaku pada Khamis kira-kira jam 6.30 petang melibatkan kereta Perodua Axia, motosikal Modenas Kriss dan sebuah bas henti-henti.
Katanya, mangsa, Mohd Rafqi Danish Arman Rosnaidi yang juga pembonceng motosikal maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.
"Siasatan awal mendapati, perlanggaran berlaku apabila pemandu kereta Perodua Axia berusia 29 tahun yang memandu berseorangan dari arah Kok Lanas hendak pulang ke rumah di Kampung Galang, Pulai Chondong di sini.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu itu memberi isyarat ke kanan untuk memastikan tiada kenderaan dari arah bertentangan," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.
Bagaimanapun katanya, pemandu terus membelok untuk memasuki lorong di sebelah kanan.
"Semasa berada di lorong tersebut, pemandu berkenaan berhenti seketika untuk memberi laluan kepada sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang ketika itu hendak keluar daripada lorong tersebut.
"Tiba-tiba sebuah motosikal yang dibonceng oleh mangsa dari arah Pulai Chondong menghala Ke Kampung Galang di laluan utama telah melanggar bahagian sisi kiri Perodua Axia," katanya.
Mohd Adli memberitahu, mangsa dan rakannya yang juga penunggang motosikal tercampak ke laluan bertentangan mengakibatkan mangsa terkena bahagian tayar belakang bas.
Tambah beliau mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ujarnya, penunggang motosikal cedera ringan di bahagian tangan dan di hantar ke Hospital Machang untuk menerima rawatan.
Kes disiasat di bawah Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!