Tanam ganja: Lelaki warga emas berdepan penjara seumur hidup
KUALA PILAH - Seorang lelaki warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat atas pertuduhan menanam dua batang pokok kanabis, Isnin lepas.
Tertuduh Rohaizat Abd Aziz, 58, yang merupakan penganggur mengaku bersalah melakukan perbuatan itu sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Hakim,Norma Ismail.
Mengikut pertuduhan, tertuduh pada jam 1.30 tengah hari 3 April lalu didakwa menanam dua batang pokok terbabit di sebuah rumah di Kampung Gemetir, Tanjong Ipoh, Kuala Pilah.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6B (3) akta yang sama.
Hukuman bagi seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan tidak kurang daripada enam sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaan Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sebelum itu, pihak pendakwaan yang merujuk Seksyen 41B Akta Dadah Berbahaya 1952 mendapati kesalahan itu adalah kesalahan tidak boleh jamin.
Mahkamah kemudiannya tidak membenarkan tertuduh dijamin dan menetapkan 9 Mei ini bagi sebutan laporan kimia sebelum hukuman dijatuhkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!