TMJ tak sangka permulaan luar biasa JDT

Tunku Ismail
Tunku Ismail
A
A
A

PEMILIK Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak menyangka permulaan luar biasa mampu dipamerkan Harimau Selatan dalam saingan Liga Super musim ini.

Menurut Tunku Ismail, keupayaan meledak 30 gol dalam hanya tujuh perlawanan merupakan bukti komitmen tinggi pemain selain mampu melaksanakan perancangan pasukan dengan baik.

"Syukur Alhamdullilah berpuas hati, tetapi tidaklah begitu berpuas hati sangat kerana kami ingin memperbaiki dan menambah baik banyak perkara.

"Saya rasa persiapan yang kami rancang dengan jurulatih serta pasukan untuk ke Dubai (perlawanan pramusim) dan membuat persiapan lawan dengan pasukan yang lebih hebat, adalah keputusan yang tepat.

"Bagi saya, pesiapan adalah kunci kejayaan. Saya tak sangka yang kami akan jaringan 30 gol dalam tujuh perlawanan dan menang semua perlawanan tersebut.

"Selalunya lepas pramusim, kami akan 'hiccup' kerana intensisti pramusim yang sangat tinggi. Tetapi saya tengok pasukan, semua pemain tunjuk komitmen yang tinggi dan melaksanakan dengan baik perancangan pasukan. Kami harap perkara ini akan konsisten sepanjang musim," katanya dalam video temubual yang disiarkan di Facebook Johor Southern Tigers pada Khamis.

JDT yang juga juara sembilan kali Liga Super itu terus menunjukkan kualiti yang dimiliki mereka apabila meraih semua kemenangan dalam tujuh perlawanan awal liga selain hanya bolos sekali menerusi sepakan penalti ketika bertemu Kelantan FC.

Malah, jentera serangan JDT juga harus digeruni musim ini dengan rekod 30 gol sepanjang tujuh perlawanan tersebut dan turut menang besar dalam perlawanan menentang Negeri Sembilan 7-0, Kelantan (5-1), Selangor (4-0), Sabah (4-0) dan Perak (5-0).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!