Andalusia tidak batal penerbangan umrah saat akhir
KUALA LUMPUR - Andalusia Travel & Tours tidak berdepan masalah pembatalan atau penangguhan pakej umrah 1444H (2022/2023) pada saat-saat akhir seperti berita tular membabitkan beberapa syarikat pengendali haji dan umrah lain.
Pengarahnya, Ida Riswana Idris berkata, isu itu menimbulkan keresahan kepada orang ramai khususnya 6,000 jemaah Andalusia yang belum berlepas bagi menunaikan umrah ketika Ramadan serta Syawal.
Menurutnya, ada di antara bakal jemaah yang bertanya sama ada perlu membatalkan atau menangguhkan dahulu hajat mereka untuk menunaikan umrah susulan bimbang berdepan isu tersebut.
"Pada pandangan saya, jika berita yang sedang tular ini berterusan, ia boleh memberi kesan negatif bukan sahaja kepada Andalusia tetapi syarikat pelancongan lain.
"Malah, ia mencetuskan keresahan serta keraguan bakal jemaah untuk meneruskan ibadah umrah mereka.
"Tindakan agensi pelancongan yang membuat pembatalan penerbangan sewenang-wenangnya perlu ditangani segera oleh pihak berwajib kerana akan memberi kesan jangka masa panjang termasuk ekonomi dan psikologi umat Islam yang ingin menunaikan umrah," katanya pada sidang akhbar berhubung isu itu di ibu pejabat Andalusia, Kampung Pandan di sini pada Jumaat.
Beliau menjelaskan, dakwaan sesetengah syarikat pelancongan kenaikan harga tiket serta 'seat' umrah Ramadan yang kurang sebagai punca pembatalan pakej adalah tidak benar.
"Hakikatnya selepas pandemik, kenaikan harga tiket penerbangan berlaku pada semua syarikat luar dan dalam negara ke semua destinasi di dunia termasuk penerbangan domestik. Ia disebabkan kenaikan bahan mentah minyak, kadar mata wang dan kos-kos lain yang terpaksa ditanggung pihak syarikat.
"Sebenarnya untuk Ramadan ini, terdapat banyak penerbangan umrah yang masih kosong sehingga ada beberapa penerbangan terpaksa disatukan bagi menjimatkan kos serta mengelakkan syarikat penerbangan rugi kerana 'load' kapasiti yang rendah," katanya.
Tambahnya, Andalusia sendiri membuat penambahan tiket di sepuluh malam akhir Ramadan malah bilik-bilik di Makkah dan Madinah masih banyak kekosongan.
Ujar beliau, Andalusia telah membuat tempahan tiket penerbangan awal musim dan tandatangan perjanjian sebelum permulaan musim umrah mengikut jumlah perancangan ditetapkan.
"Andalusia hanya menjual pekej mengikut tarikh yang terkandung mengikut hotel tempahan yang sudah dipastikan.
"Kami turut membuat perjanjian secara terus dengan pengurusan hotel mengikut perancangan setahun selain turut membuat 'costing' yag tepat mengikut tiket dan hotel yang ada sebelum membuat penjualan (kepada pelanggan).
"Pengurusan kewangan yang teratur dan wang yang diterima melalui pembayaran pakej oleh jemaah diuruskan sebagai wang amanah bagi pembelian tiket, hotel, visa dan semua komponen yang dijanjikan oleh Andalusia semasa penjualan pakej," katanya.
Katanya, jika formula tersebut digunakan, syarikat penyedia perkhidmatan umrah tidak berdepan masalah kenaikan harga pakej secara tiba-tiba atau pembatalan kontrak dengan jemaah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!