Lelaki baru dua bulan edar dadah diberkas bersama 3.6kg heroin
IPOH - Seorang lelaki warga tempatan yang baru dua bulan menjadi pengedar dadah ditangkap sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di Pasar Besar Ipoh pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, serbuan dilakukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di lokasi berkenaan pada jam 12.45 pagi.
Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas suspek menemukan satu beg galas mengandungi lapan peket plastik berisi serbuk dan ketulan disyaki dadah jenis heroin dengan berat anggaran 3.6 kilogram.
"Jumlah dadah yang dirampas ini boleh digunakan lebih kurang 7,000 penagih dadah dengan nilai pasaran bernilai RM128,000.
"Siasatan awal mendapat suspek dipercayai mula aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak Februari 2023 dan dadah yang dirampas disyaki untuk diedarkan di pasaran tempatan sekitar Ipoh," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Yahaya berkata, kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan suspek direman selama enam hari untuk siasatan lanjut.
Katanya, selain itu tindakan pelucuthakan harta juga diambil terhadap suspek di bawah ADB (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan sitaan wang tunai berjumlah RM1,100.
"Kejayaan ini merupakan satu contoh hasil kerjasama di antara masyarakat dan pihak polis dalam membanteras jenayah narkotik.
"Justeru, IPD Ipoh ingin menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah kepada pihak polis supaya tindakan penguatkuasaan dapat dipertingkatkan," katanya.
Jelas Yahaya, sebarang aktiviti jenayah narkotik di Bandaraya Ipoh boleh disalurkan kepada Pusat Kawalan Daerah IPD Ipoh yang beroperasi 24 jam di talian 05-2542222 atau emel ke kpdipoh@rmp.gov.my.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!