Lebih RM130,000 menanti di Pantai Remis
KUALA SELANGOR - Hadiah bernilai lebih RM130,000 bakal menjadi rebutan pemancing dalam Tourism Malaysia Surfcasting Tour A Journey To Visit Malaysia 2020, di Pantai Remis, di sini Ahad ini.
Pertandingan anjuran bersama Tourism Malaysia dan Wakjali Event Management itu yang bertujuan mempromosikan lokasi pelancongan menarik seluruh negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2020, menawarkan hadiah wang tunai RM70,000 untuk juara, kedua menerima RM12,000 dan ketiga RM5,000.
Pemenang keempat bakal membawa pulang RM1,000 kelima (RM700) keenam hingga ke-10 (RM450) manakala pemenang ke-11 hingga 100 bakal pulang dengan RM300.
Turut ditawarkan, sebuah televisyen LED 60 inci dan enam TV LED 32 inci, 20 hamper dan 10 barangan Igloo sebagai hadiah cabutan bertuah serta 1,000 t-shirt untuk peserta yang mendaftar awal.
Pengurus Wakjali Event Management, Md Zali Kasran, berkata pertandingan itu yang masuk siri ketiga selepas Melaka dan Kelantan, bakal dimulakan pada jam 10.30 pagi hingga 2.30 petang.
“Ini berikutan faktor air pasang surut di Pantai Remis. Berbanding dengan lokasi memancing di Pantai Timur yang sentiasa ada air di pantai bagi tujuan memancing, Pantai Remis sangat bergantung kepada pasang surut air laut.
“Dalam keadaan pasang surut ketika ini, saya yakin banyak spesis ikan, terutama belukang, semilang dan gelama bakal dinaikkan peserta.
“Penganjur juga akan membuka kawasan memancing secara maksimum seperti pernah diadakan sebelum ini,’’ katanya ketika melakukan lawatan tapak bersama Penolong Pegawai Belia dan Sukan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Puspanath Thanabalan.
Yuran penyertaan hanya RM80 untuk satu joran dan peserta dibenar menggunakan dua joran sahaja.
Kaunter pendaftaran 24 jam akan dibuka di lokasi pertandingan pada jam 3.00 petang, Sabtu ini.
Pertandingan berasaskan ikan terberat dengan beberapa spesis ikan tidak dipertandingkan seperti todak, kerapu dan pari. Bagaimanapun spesis ketuka dipertandingkan sehingga berat maksimum 400 gram sahaja.
Pantai Remis terkenal dengan pelbagai spesis ikan terutama semilang, gelama, duri, belukang, ketuka dan lain-lain.
Pertandingan ini turut mendapat kerjasama Persatuan Nelayan Sungai Semilang apabila tiada nelayan dibenarkan menangkap ikan di hadapan pantai pada hari pertandingan.
Malah, pihak persatuan juga akan menempatkan sebuah bot pemantau bagi mengawasi kawasan pertandingan daripada diceroboh nelayan luar. Pertanyaan bagi acara ini oleh hubungi 019-6203040, 012-2141401 dan 013-3838655.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!