Bantuan raya pesawah, nelayan mula dibayar 10 April ini

Bantuan Kewangan Khas Aidilfitri kepada pesawah dan nelayan yang layak secara one-off sebanyak RM200 seorang akan dibayar mulai 10 April ini. - Gambar hiasan
Bantuan Kewangan Khas Aidilfitri kepada pesawah dan nelayan yang layak secara one-off sebanyak RM200 seorang akan dibayar mulai 10 April ini. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Bantuan Kewangan Khas Aidilfitri kepada pesawah dan nelayan yang layak secara one-off sebanyak RM200 seorang akan dibayar mulai 10 April ini.

Menerusi kenyataan pada Jumaat itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan, seramai 240,000 pesawah dan 38,500 nelayan di seluruh negara akan menerima manfaat berkenaan.

Kenyataan tersebut turut menyenaraikan empat kategori pesawah dan nelayan yang layak untuk menerima inisiatif bantuan kewangan raya itu.

“Kategori pertama adalah pesawah, nelayan laut dan darat warganegara Malaysia. Kedua, pesawah yang terlibat dalam aktiviti penanaman padi pada 2022 dan berdaftar dengan agensi lantikan kerajaan tertakluk kepada syarat khusus oleh Bahagian Pembangunan Industri Padi, KPKM.

“Seterusnya, nelayan laut yang aktif menjalankan aktiviti penangkapan ikan dan berdaftar dengan agensi lantikan kerajaan tertakluk kepada syarat khusus oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

“Nelayan darat yang aktif menjalankan aktiviti penangkapan ikan dan berdaftar dengan agensi lantikan kerajaan tertakluk kepada syarat khusus oleh Jabatan Perikanan Malaysia (DOF),” kata kenyataan itu.

Pada 29 Mac lalu, Sinar Hari melaporkan kerajaan bersetuju untuk menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM200 kepada 850,000 pekebun kecil getah, pesawah dan nelayan.

Jelas KPKM lagi, penyaluran bantuan berkenaan bagi pesawah akan dibayar melalui agensi Lembaga Pertubuhan Peladang, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu.

Bagi nelayan laut dan darat akan dibayar melalui LKIM dan DOF.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!