KDA FC hilang dua tonggak pertahanan bertemu JDT
KEDAH Darul Aman (KDA) FC perlu memikirkan formula ampuh untuk memperkemaskan bentengnya menjelang aksi kelapan Liga Super 2023 bertemu pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad ini.
Pengendalinya, Nafuzi Zain berkata, Sang Kenari kehilangan pertahanan kiri, Ariff Farhan yang digantung satu perlawanan selepas mengutip tiga kad kuning.
Nasib sama menimpa seorang lagi pemain pertahanan, Wan Amirul Afiq yang juga tidak dapat beraksi bertemu JDT kerana layangan kad merah kepadanya semasa menentang Penang FC Rabu lalu.
"Kami perlu melakukan percaturan taktikal baharu meletakkan pemain lain yang mampu memberi keseimbangan di posisi penting benteng KDA FC pada Ahad ini.
"Penggantungan dua pemain pertahanan ini juga akan membuka peluang kepada pemain lain selepas menunggu lama untuk berada dalam kesebelasan utama.
"Saya perlu lebih teliti dan memikirkan perancangan yang dapat menyeimbangkan kekuatan benteng selepas kami kehilangan dua tonggak utama di posisi penting," katanya mengulas aksi perlawanan penting dua pasukan teratas Liga Super ini.
Jelas Nafuzi, KDA FC akan hadir sebagai pasukan bukan pilihan di laman Harimau Selatan namun dengan membawa bekal keyakinan yang tinggi untuk berdepan juara liga super sembilan kali berturut-turut itu.
"Kita tahu bila kita lawan pasukan yang bagus ini kita mahu cuba beri aksi yang terbaik dan kita tetap mahukan satu keputusan yang positif untuk dibawa pulang.
"Saya memiliki perancangan saya sendiri dan saya rasa pemain cukup bersemangat dan fokus untuk menghadapi cabaran besar ini walaupun kami hadir sebagai underdog di tempat lawan nanti," ujarnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!