Umat Islam perlu bersatu walau berbeza pandangan - Agong

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan beramah mesra bersama jemaah sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Ar-Rahmani, Kampung Banggol pada Jumaat. - Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan beramah mesra bersama jemaah sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Ar-Rahmani, Kampung Banggol pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KEPALA BATAS - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah umat Islam perlu mempunyai keinginan untuk bersatu walaupun berbeza pandangan kerana inilah sifat yang boleh memajukan diri, negeri dan negara.

Seri Paduka bertitah, umat Islam tidak boleh terlalu taasub dengan pandangan masing-masing dan mengamalkan sikap berpuak-puak dalam masjid.

"Ini adalah satu fenomena yang kurang sihat dan tidak sihat langsung,” titah Seri Paduka pada majlis Pemasyhuran Masjid Jamek Ar Rahmani Kampung Banggol, di sini pada Jumaat.

Al-Sultan Abdullah bertitah, institusi masjid harus dipertahankan daripada menjadi gelanggang politik mana-mana pihak dan puak.

Seri Paduka berharap pentadbiran masjid di bawah naungan Majlis Agama Islam Pulau Pinang di bawah Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang perlu diuruskan dan diimarahkan dengan sebaik mungkin.

Hadir sama Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Yang Dipetua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan Timbalan Ketua Menteri I Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Pada majlis berkenaan, Seri Paduka berkenan menandatangani plak perasmian Masjid Jamek Ar Rahmani Kampung Banggol sebelum menunaikan solat Jumaat bersama rakyat jelata. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!