Kaji semula Akta Suruhanjaya Lantikan Kehakiman 2009

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan dicadangkan supaya mengkaji semula Akta Suruhanjaya Lantikan Kehakiman 2009 dengan pindaan-pindaan berkaitan bagi memastikan keputusan yang dibuat daripada badan perundangannya bebas daripada sebarang dorongan eksekutif.

Menurut Yayasan Sinar Untuk Malaysia #RasuahBusters, sekiranya perkara itu berjaya dilaksanakan, ia diyakini dapat mempertingkatkan kepercayaan daripada rakyat dan keadilan terhadap mereka.

“Hilangnya keyakinan terhadap institusi kehakiman akan mengakibatkan lemahnya sistem keadilan dan boleh mendatangkan kesan yang amat buruk kepada pembangunan kepada negara ini.

“Tergugatnya kebebasan institusi kehakiman juga bererti lemahnya governans dan integriti dan akan terbuka luas lah ruang korupsi, salah guna kuasa dan ketertiban demokrasi di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Yayasan Sinar Untuk Malaysia turut mengingatkan mana-mana pihak untuk tidak memberi pandangan secara rambang terhadap keputusan mahkamah tanpa didasari sikap rasional.

Jelasnya, kebebasan bersuara yang diberikan hendaklah dihormati dan digunakan dengan sebaik mungkin.

“Pandangan yang tidak konstruktif, beremosi, berunsur politik dan tidak didasarkan kepada fakta undang-undang yang tepat harus dihentikan segera kerana ia mengundang persepsi buruk terhadap institusi kehakiman, menghilangkan kepercayaan dan menggugat kestabilan serta keharmonian rakyat.

“Kritikan, hak kebebasan bersuara dan penyebaran maklumat tidak seharusnya melampaui batas bidang kuasa mahkamah yang telah menjalankan fungsinya sepertimana yang diperuntukkan oleh sistem perundangan di negara ini.

“Literasi perundangan dan kesedaran berkaitan proses kehakiman wajar dipertingkatkan dalam kalangan masyarakat agar rakyat faham hak, tanggungjawab termasuk liabiliti dan kesan ekonomi dan sosial terhadap sesuatu tindakan yang dilakukan,” kata yayasan tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!