DBP syor akta baharu, beri 'taring' kuat kuasa kesalahan bahasa

Awang Sariyan
Awang Sariyan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mencadangkan pewujudan akta baharu bagi memberi lebih ‘taring’ kepada badan itu terutamanya dalam aspek penguatkuasaan berkaitan kesalahan penggunaan bahasa, selain memberi penarafan terhadap mutu bahasa di pelbagai peringkat.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan berkata, draf akta baharu berkenaan, yang kini berada di peringkat Kementerian Pendidikan (KPM) perlu dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri dahulu untuk kelulusan sebelum dapat dibentangkan di Parlimen.

"Akta baharu yang dicadangkan ini mempunyai hala tuju lebih jelas berbanding Akta DPB 1959 sedia ada, meliputi peruntukan mengenai penarafan, penguatkuasaan, perdagangan, pengiktirafan dan pengantarabangsaan oleh DBP,” katanya kepada Bernama.

Awang, yang juga Ahli Dewan Negara, berkata pada tahun lepas, pihaknya telah menyediakan cadangan pindaan terhadap Akta DBP 1959 bagi memperkasa fungsi DBP, namun ia masih di peringkat penelitian KPM selepas mengambil kira pandangan Pejabat Peguam Negara.

Katanya, ia berikutan cadangan Pejabat Peguam Negara yang antara lain menyatakan bahawa adalah lebih satu akta baharu digubal memandangkan pindaan dicadangkan melibatkan banyak perkara.

Mengulas lanjut, Awang berkata, menerusi akta baharu itu, peruntukan penguatkuasaan adalah penting kerana dalam akta sedia ada, DBP hanya diberi kuasa menegur, menasihati dan membimbing dalam hal penggunaan bahasa tanpa sokongan kuasa undang-undang.

"DBP tidak menjadikan hukuman dan denda sebagaimana keutamaan tetapi perlu ada peruntukan undang-undang penguatkuasaan penggunaan bahasa negara (bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu) untuk pembinaan negara yang lebih utuh.

"Mekanisme penguatkuasaan akan dirincikan melibatkan tindakan secara pentadbiran dengan penyelarasan badan-badan lain dan kemungkinan pengenaan denda sebagaimana pelaksanaan Undang-Undang Toubon (Toubon Law 1994) di negara Perancis,” kata Pengerusi Institut Alam dan Tamadun Melayu itu.

Sementara itu, beliau berkata, dengan adanya fungsi penarafan yang dicadangkan dalam akta berkenaan, DBP akan dapat menjadi badan berwibawa bagi penarafan tahap pelaksanaan dan mutu bahasa di kementerian, jabatan, agensi dan pihak berkuasa awam.

Awang berkata, ia selaras dengan Perkara 152(6) tentang bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi pentadbiran Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam.

"Fungsi pengiktirafan yang dicadangkan dalam akta baharu ini pula membolehkan DBP berfungsi seperti British Council, Alliance Francaise dan badan lain di dunia dalam memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada mana-mana pihak daripada aspek penggunaan bahasa kebangsaan,” katanya.

Awang berkata turut dicadangkan ialah peruntukan yang membolehkan DBP menubuhkan perbadanan agar fungsi perniagaan agensi itu dapat digerakkan dengan lebih berkesan, sekali gus menyumbang dalam aspek kewangan negara. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!