Penerima STR syukur dapat bantuan
Bagi menyediakan keperluan untuk menyambut kedatangan Aidilfitri
KUALA NERUS – Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 yang menerima bayaran pada Rabu lalu bersyukur dengan keprihatinan kerajaan menyalurkan bantuan tersebut ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan.
Rata-rata mereka meluahkan rasa gembira dengan bantuan STR yang disifatkan tepat pada masanya dan mahu menggunakan wang tersebut bagi menampung kelompongan kewangan menyediakan keperluan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Pembantu kedai keropok, Mohd Raizuddin Rasid, 28, berkata, walaupun Ramadan sudah 14 hari berlalu, dia dan isteri, Siti Hajar Munirah Sabri, 25, yang bekerja sebagai pembantu gerai, belum berkemampuan menyediakan kelengkapan hari raya.
Oleh itu, beliau yang tinggal di Kampung Tebauk, di sini akan membelanjakan wang STR sebanyak RM200 yang baru dikeluarkan dari Bank Simpanan Nasional (BSN) Kuala Nerus untuk membeli dua pasang baju raya untuk mereka berdua.
“Sebelum ini saya turut menerima STR, namun saya simpan sebagai kegunaan untuk waktu kecemasan, tapi untuk bayaran kali ini yang diberikan ketika bulan puasa, kami sepakat guna beli baju baharu untuk dipakai pada 1 Syawal nanti,” katanya yang sudah mendirikan rumah tangga selama tiga tahun dan menerima gaji sebanyak RM50 sehari.
Beli barangan dapur
Bagi Nozilawati Jusoh@Mohd Zain, 39, wang bantuan itu tidak sempat disimpan sebagai persediaan Aidilfitri, sebaliknya akan terus digunakan membeli barangan dapur dan barang mentah untuk dimasak hidangan berbuka puasa mereka sekeluarga.
Suri rumah dan ibu kepada tiga cahaya mata berusia antara enam hingga 16 tahun itu berkata, STR boleh dianggap sebagai rahmah kerana ia datang ketika gaji suaminya, Yusri Mohd Yusoff, 49, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan semakin susut.
“Sekarang barang semua mahal, agak perit juga untuk kami sekeluarga memandangkan gaji suami sebanyak RM1,500 sebulan. Keperluan raya belum sediakan lagi, suami cakap tengok dulu jika dapat gaji pendahuluan baru boleh pergi beli,” katanya yang tinggal di Kampung Jeram, Manir.
Kementerian Kewangan menerusi kenyataan sebelum ini memaklumkan, bayaran STR Fasa 2 mula dikreditkan ke dalam akaun penerima secara berperingkat mulai Rabu lalu.
Penerima STR yang tiada akuan bank boleh membuat penunaian di seluruh Cawangan BSN mulai 5 April 2023.
Sementara itu, penerima STR di kawasan pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak yang tiada akses perbankan boleh melakukan penunaian melalui Cawangan Bank Bergerak BSN.
Bayaran kepada 8.7 juta golongan B40 itu melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM1.26 bilion.
Seramai empat juta penerima kategori isi rumah menerima RM200 dan 3.5 juta kategori bujang (RM100) manakala 1.2 juta warga emas dan tiada pasangan (RM100) menerima manfaat STR.
Dengan pembayaran tersebut, sejumlah RM2.93 bilion peruntukan STR telah dibayar kepada golongan B40 pada tahun 2023.
Pembayaran STR Fasa 3 dan Fasa 4 akan dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan iaitu pada bulan Julai dan November tahun ini dengan mengambil kira permohonan baharu atau kemas kini STR yang diterima semasa tempoh permohonan dan pengemaskinian.
Harap teruskan bantuan
Sementara itu, seorang lagi penerima, A. Ruhadi Mat Hassan@Kamarun, 55, dari Kampung Wakaf Tengah pula berharap kerajaan dapat meneruskan bantuan STR pada masa akan datang supaya manfaat tersebut dapat terus dinikmati oleh rakyat.
“Namun saya harap kerajaan juga dapat menaikkan kadar bantuan ini kepada jumlah yang lebih sesuai dengan peningkatan kos sara hidup sekarang, lebih-lebih lagi rakyat yang ada anak ramai,” kata bapa kepada lapan anak berusia antara 16 hingga 33 tahun itu.
Pembantu gerai martabak, Mohd Norhafizam Ishak, 27, berkata, urusan menebus bantuan STR berjalan lancar dengan tempoh pengeluaran wang miliknya sebanyak RM100 hanya mengambil masa lima minit.
Jelas anak kedua daripada tiga beradik dari Kampung Padang Air itu, proses pengeluaran kali ini lebih efisyen berbanding sebelum ini yang memakan masa antara satu hingga dua jam seorang berikutan orang datang terlalu ramai serta serentak.
Apa kata mereka
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana bantuan ini dapat membantu meringankan beban kewangan kami sekeluarga,” Mohd Raizuddin Rasid.
“Duit sebanyak RM200 ini banyak membantu kami menempuhi hari-hari di bulan Ramadan,” Nozilawati Jusoh@Mohd Zain.
“Golongan berpendapatan rendah bersyukur dan menghargai bantuan kerajaan ini kerana ia dapat meringankan beban kewangan,” A. Ruhadi Mat Hassan@Kamarun.
“Saya bersyukur dengan bantuan ini dan bercadang gunakan untuk membeli sepasang baju Melayu dipakai pada hari raya nanti,” Mohd Norhafizam Ishak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!