PRN: PH NS bincang permintaan UMNO mahu tambah kerusi
SEREMBAN - Permintaan UMNO Negeri Sembilan supaya diberikan tambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan dibincangkan di peringkat Pakatan Harapan (PH) negeri itu.
Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, keputusan seterusnya akan dibuat Majlis Presiden PH yang dijangka mengambil masa sebulan lagi.
"Pertemuan itu (dengan UMNO) memang telah berlaku, Alhamdulillah berjalan dengan baik, ada persefahaman munasabah.
"Biasalah dalam perbincangan ada permohonan dikemukakan. Saya akan membawa perkara tersebut untuk pertimbangan rakan-rakan dalam PH,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Inisiatif Jualan Rahmah Peringkat Negeri Sembilan di sini pada Jumaat.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias, dua hari lepas dilaporkan berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan awal dengan PH negeri bagi mencari persefahaman selain turut meminta diberikan tambahan dua kerusi DUN dalam PRN nanti.
Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, kerjasama antara PH dan BN di negeri itu semakin kukuh khususnya selepas Majlis Santunan Kasih Ramadan Negeri Sembilan di Kompleks Pentadbiran dan Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Jelebu, semalam.
"Ia menggambarkan kerjasama mula terjalin, saya yakin ia akan dapat diperkuatkan lagi melalui agenda jentera pilihan raya dan hubungan di peringkat akar umbi kedua-dua parti," katanya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas, Barisan Nasional (BN) memenangi 16 kerusi DUN manakala PH memenangi 20 kerusi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!