Polis siasat pemimpin parti politik guna 'Datuk' palsu
AMPANG - Polis menjalankan siasatan terhadap seorang pemimpin bahagian sebuah parti politik yang didakwa menggunakan gelaran 'Datuk' palsu untuk tujuan perniagaan dan peribadi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, siasatan berhubung perkara itu sedang dijalankan.
"Ya, memang ada, ia masih dalam siasatan dan ada arahan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan pencerahan selanjutnya," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Sebelum itu, sebuah portal tempatan mendedahkan seorang pemimpin politik didakwa menggunakan gelaran Darjah Kebesaran Istana Pahang palsu untuk tujuan peribadi dan perniagaannya.
Wakil Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ampang, Mohammad Afiq Tahar membangkitkan isu tersebut dengan membuat satu laporan polis pada 7 Mac lalu kerana mendapati wujud unsur-unsur penipuan oleh individu terbabit.
Mohammad Afiq berkata, pihaknya menerima surat semakan status Darjah Kebesaran Negeri Pahang daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, Selangor pada 23 Mac lalu.
Surat semakan itu mengesahkan individu berkenaan tidak dikurniakan sebarang pingat Darjah Kebesaran oleh Istana Pahang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!