Tiga termasuk CEO perbadanan ditahan kes rasuah RM600,000

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang ketua pegawai eksekutif sebuah perbadanan berkaitan kerajaan adalah antara tiga individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima suapan berjumlah kira-kira RM600,000.

Menurut sumber SPRM, ketiga-tiga lelaki berusia antara 39 hingga 54 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM di sini kira-kira jam 8 malam semalam ketika hadir untuk memberikan keterangan.

Sumber itu berkata, suapan dipercayai diberikan bagi membantu sebuah syarikat mendapatkan tender berkaitan kerja menaik taraf sistem mekanikal dan elektrikal, yang merupakan sebahagian daripada projek berjumlah lebih RM15 juta untuk menaik taraf sebuah bangunan ibu pejabat di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Menurut sumber itu, ketua pegawai eksekutif itu dipercayai menerima suapan berjumlah kira-kira RM600,000 daripada sebuah syarikat melalui dua lagi lelaki sebagai upah membantu syarikat terbabit mendapatkan projek kerja-kerja menaiktaraf sistem mekanikal dan elektrikal di bangunan berkenaan.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Tan Kang Sai ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata ketiga-tiga lelaki itu disiasat di bawah Seksyen 17a Akta SPRM 2009.

Menurut sumber SPRM itu, kesemua mereka kini direman selama empat hari bermula hari ini hingga 10 April selepas Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini pada Jumaat. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!