Mayat lelaki ditemui terapung berhampiran Pulau Kendi
GEORGETOWN - Mayat seorang lelaki yang terjatuh dari Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (Jambatan Kedua Pulau Pinang) ditemukan terapung berhampiran perairan Pulau Kendi di sini pada tengah hari Jumaat.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, mayat Mohammad Syafiq Mustaffa, 33, ditemukan kira-kira jam 12.50 tengah hari oleh sekumpulan nelayan.
Menurutnya, selepas menerima laporan itu pihaknya menggerakkan bot ronda KILAT 26 ke lokasi bersama beberapa aset dari agensi lain yang terlibat dengan operasi mencari dan menyelamat mangsa.
"Mayat mangsa dibawa ke pangkalan hadapan carilamat yang ditubuhkan untuk proses sanitasi oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada Polis Perai untuk dibawa ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk proses bedah siasat.
"Mangsa dari Bayan Lepas telah disahkan oleh ahli keluarganya yang hadir ke pangkalan hadapan carilamat untuk proses pengecaman," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Abd Razak berkata, pada Rabu lalu Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi telah mengaktifkan Op Carilamat pada jam 2.50 pagi setelah mendapat maklumat kejadian individu terjatuh Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah daripada pusat kawalan trafik jambatan berkenaan.
Katanya, selain Maritim Malaysia operasi mencari dan menyelamat itu melibatkan aset agensi dari Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.30 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!