Rapatkan silaturahim

Program Iftar Ala Madinah@Karangkraf mampu menempatkan 1,000 pengunjung yang berdaftar setiap hari Isnin hingga Jumaat. (Gambar kecil: Nabil Ahmad (kiri), Mohd Hafiffy dan Tengku Fiza
Program Iftar Ala Madinah@Karangkraf mampu menempatkan 1,000 pengunjung yang berdaftar setiap hari Isnin hingga Jumaat. (Gambar kecil: Nabil Ahmad (kiri), Mohd Hafiffy dan Tengku Fiza
A
A
A

SHAH ALAM - Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf membuka seluas peluang kepada masyarakat di Lembah Klang untuk menikmati keindahan berbuka puasa secara beramai-ramai dan pada masa yang sama turut merapatkan silaturahim bersama pengunjung lain.BERB

Meskipun telah memasuki pertengahan bulan Ramadan, namun kehadiran pengunjung ke program tersebut tidak berkurang sebaliknya semakin bertambah dan dimeriahkan dengan pelbagai program yang dilaksanakan sebelum masuk waktu berbuka.

Salah seorang pengunjung, Mohd Hafiffy Abdul Latip berkata, dia tidak pernah menyaksikan mana-mana program berbuka yang semeriah seperti anjuran Iftar ala Madinah@ Karangkraf ini.

Pengunjung beratur untuk mendapatkan makanan dan minuman yang disediakan.
Pengunjung beratur untuk mendapatkan makanan dan minuman yang disediakan.

Ujar Mohd Hafiffy yang juga juruteknik bebas, kebiasaannya dia jarang dapat mengikuti program sebegini berikutan kekangan masa dengan pekerjaannya.

“Ini kali pertama bagi saya. Kalau isteri dan anak-anak saya, memang tiap-tiap tahun mereka mesti datang ke sini.

“Kalau diikutkan selain daripada (makan bersama) keluarga, ini kali pertama saya makan beramai-ramai seperti ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Menurut Mohd Hafiffy yang berasal dari Melaka, program ini juga unik dan bermanfaat kerana dapat merapatkan silaturrahim sekali gus mengukuhkan lagi jalinan ukhuwah sesama saudara Islam.

“Saya rasa program ini memang bagus untuk masyarakat. Dari segi itu juga kita dapat sedekah untuk anak-anak yatim dan warga asnaf yang tidak mampu.

“Selain itu, pada saya, makan di sini juga lebih berbaloi kerana kami sekeluarga dapat berjimat kerana kita datang sini pun hanya perlu isi borang (kehadiran) sahaja,” ujarnya.

Sesi tazkirah selama 30 minit sebelum waktu berbuka memberi manfaat kepada pengunjung.
Sesi tazkirah selama 30 minit sebelum waktu berbuka memberi manfaat kepada pengunjung.

Dalam pada itu, pengacara dan pelawak popular, Nabil Ahmad turut menggalakkan supaya anjuran program ini diteruskan dari tahun ke tahun.

“Untuk saya, ini merupakan satu program yang sangat baik. Kalau diteruskan tiap-tiap tahun dan diuar-uarkan lebih lagi, sebab saya pun baru tahu ada program Iftar Ala Madinah@Karangkraf ini.

“Program ini bagus ditambah pula dengan kita ada tazkirah setengah jam sebelum kita nak berbuka dan dapat solat berjemaah bersama-sama.

“Saya harap program ini dapat diteruskan tiap-tiap tahun dan kalau ada kelapangan boleh jemput saya, insya-ALLAH saya akan sertai,” menurutnya.

Pelbagai kuih-muih disediakan untuk semua pengunjung yang hadir.
Pelbagai kuih-muih disediakan untuk semua pengunjung yang hadir.

Sementara itu, mahasiswi, Tengku Fiza Tengku Muzani, 22, berkata, pengalaman berbuka puasa di program Iftar Ala Madinah@Karangkraf juga dilihat berbeza berbanding di masjid.

“Selalunya makan di masjid, mereka ada prosedur beratur untuk mendapatkan makanan, dan selalunya tidak cukup.

“Kalau di sini (Iftar Ala Madinah @Karangkraf), kita perlu berdaftar. Jadi isu tidak diingini seperti makanan tidak cukup dan sebagainya, tidak akan berlaku,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!