Harimau Malaya mampu tembus kelompok 120 terbaik dunia
SKUAD Harimau Malaya yang naik ke posisi 138 dalam kemas kini terbaharu ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berpotensi menembusi kelompok 120 pasukan terbaik dunia menjelang hujung tahun ini.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin percaya, pasukan negara akan terus mendaki ke kedudukan terbaik jika berjaya meraih keputusan positif dalam keseluruhan enam aksi pada jendela perlawanan antarabangsa FIFA pada Jun, September dan Oktober depan.
Hamidin berkata, skuad bimbingan Kim Pan-gon juga boleh mengutip lebih banyak mata ranking dalam dua perlawanan aksi kumpulan pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang akan bermula pada November.
"Jadi kalau proses ini berjalan sampai November dan kejayaan banyak memihak Malaysia, kita mungkin naik ke tangga 120 lebih, itu memang keinginan kita tetapi kita perlu bekerja keras dan yang penting kita perlu mempertahankan ranking FIFA ini.
"Kita tidak boleh kalah berterusan (seperti) yang terjadi sebelum ini, kalau kita lihat bermula hujung tahun 1995 hingga 2010 satu keadaan yang tidak bagus iaitu kita jatuh merudum,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawih FAM 2023 di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini semalam.
Malaysia naik tujuh anak tangga daripada kedudukan 145 untuk berada di posisi 138 dalam ranking FIFA yang dikeluarkan bulan ini susulan dua kemenangan masing-masing ke atas Turkmenistan dan Hong Kong pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1, bulan lepas.
Di kedudukan ke-138, skuad Harimau Malaya dipisahkan 63 anak tangga daripada posisi terbaik pernah dicapai iaitu kedudukan ke-75 pada 1993.
Mengulas lanjut, Hamidin berkata, Pan-gon bersama Pengarah Teknikal FAM Scott O'Donell dan dirinya harus bijak dalam percaturan menentukan pasukan yang akan bermain menentang skuad Harimau Malaya demi mempertahankan ranking dan pada masa sama meningkatkan kualiti pasukan.
Menurut beliau, ranking pasukan negara tidak akan terus melonjak sekalipun berjaya menumbangkan pasukan gergasi dunia, selain ia juga tidak mudah jatuh sekiranya mengalami kekalahan.
"Kalau kalah sekali, kita mesti kekal menang dua atau tiga perlawanan seterusnya supaya ranking tidak tergugat dan kalau hari ini kita menang dengan Brazil, bukan boleh naik nombor satu. Maknanya kita perlu pertahankan ranking dan meningkat secara pelan-pelan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengesahkan Malaysia akan melayani kunjungan Kepulauan Solomon dan Yaman pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 Jun ini dengan venue perlawanan hampir pasti di Johor dan Terengganu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!