Bekalan sayur stabil, harga lebih rendah

Abdul Rashid (dua kiri) ketika meninjau ladang bendi milik peserta ladang kontrak, Kamarudin (kanan).
Abdul Rashid (dua kiri) ketika meninjau ladang bendi milik peserta ladang kontrak, Kamarudin (kanan).
A
A
A

REMBAU - Bekalan sayur di seluruh negara ketika ini stabil dengan harga yang ditawarkan jauh lebih rendah berbanding sebelumnya.

Pemangku Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Abdul Rashid Bahri berkata, pihaknya akan memastikan bekalan itu mencukupi menjelang perayaan Aidilfitri ini.

"Harga yang ditawarkan juga jauh lebih rendah berbanding sebelumnya dengan mengambil contoh harga timun yang kini sekitar RM1.50 sekilogram berbanding sebelumnya dijual RM2.

"Kita juga akan tingkatkan bekalan sayur di outlet-outlet FAMA seperti pasar tani, agro bazar, pusat-pusat operasi supaya bekalan berkenaan stabil dalam pasaran," katanya pada Program Jelajah Semarak Ramadan Peringkat Negeri Sembilan di Ladang Kampung Relong di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Pengarah Kanan Pembangunan Kontrak Pemasaran, Abdul Rahman Mahmood dan Pengarah Fama Negeri Sembilan, Shahlan Kusaseh.

Dalam pada itu, Abdul Rashid menjelaskan, sejak tahun lalu juga, pihaknya tidak lagi mendapat aduan berkenaan kekurangan bekalan kelapa semasa musim perayaan.

"Ia berikutan kelapa tidak lagi dikenakan Permit Import (AP) atau kelulusan kuota import.

“Kebiasaannya bekalan musim perayaan akan meningkat dua kali ganda. Jadi, buat musim perayaan ini, sebanyak dua juta buah kelapa akan diimport dari Indonesia bagi memenuhi keperluan pengguna,” katanya.

Abdul Rashid (dua kanan) ketika menyampaikan replika cek kepada peserta ladang kontrak.
Abdul Rashid (dua kanan) ketika menyampaikan replika cek kepada peserta ladang kontrak.

Pada majlis berkenaan, Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli (Forward Agreement) antara Rakan Pemasar Kontrak Pemasaran (RPKP) dengan Peserta Ladang Kontrak melibatkan anggaran nilai belian sebanyak enam tan metrik dengan nilai RM21,000 telah dilaksanakan.

Selain itu, FAMA turut menyampaikan replika cek kepada dua usahawan FAMA daerah Rembau iaitu Kamarudin Norzan dan Nurul Amirah Atiqqah Isnin bagi Projek Pembangunan FAMA Negeri Sembilan Tahun 2023 iaitu Projek Agrobazaar Kedai Rakyat (AKR) dan Projek Pusat Pengumpulan Ladang (PPL) berjumlah RM41,000.

Sementara itu, mengulas mengenai Program Ladang Kontrak, Abdul Rashid berkata, FAMA menyasarkan sebanyak 1,000 peserta akan menyertainya di seluruh negara tahun ini bagi meningkatkan lagi bekalan makanan buat negara.

"Usaha ini diyakini mampu mengurangkan tekanan bekalan makanan bagi hasil sayur-sayuran dan buah-buahan terutamanya pada musim perayaan.

“Sehingga kini terdapat lebih 5,000 peserta menyertai program tersebut di seluruh negara. Bahkan untuk Negeri Sembilan sahaja, buat masa ini sudah ada 233 usahawan ladang kontrak dan sepanjang tahun lalu, lebih 350 tan metrik hasil direkodkan dengan nilai lebih RM1 juta,” katanya.

Ujar Abdul Rashid, program Ladang Kontrak itu merupakan sebahagian usaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk menambah bekalan sayur dan buah-buahan dari masa ke masa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!