PKBM minta KBS masukkan Fadil dalam Road to Gold

Fadhil (kanan) bersama Azizulhasni (tengah) dan Shah Firdaus.
Fadhil (kanan) bersama Azizulhasni (tengah) dan Shah Firdaus.
A
A
A

PERSEKUTUAN Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) meminta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyenaraikan pelumba muda, Muhammad Fadhil Mohd Zonis dalam senarai atlet projek Road to Gold (RTG).

Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill berkata, penampilan Fadhil dalam projek itu penting sebagai 'sokongan' kepada dua jaguh sedia ada - Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

“Secara peribadi saya melihat pemlihan Azizulhasni dan Shah Firdaus dalam projek RTG adalah tepat kerana mereka merupakan prospek pingat Olimpik.

“Namun, PKBM mahu membuat permintaan (kepada KBS) untuk memasukkan Fadhil dalam senarai RTG sebagai back up sekiranya ada pelumba mengalami kecederaan.

“Senarai yang diumumkan YB (Yang Berhormat) Menteri (Hannah Yeoh) bukanlah kekal dan boleh berubah. Jadi amat penting untuk Fadhil berada dalam projek tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas majlis berbuka puasa bersama pihak media di Petaling Jaya, Selangor pada Jumaat.

Terdahulu, Hannah dalam sidang akhbarnya di Putrajaya mengumumkan senarai 15 atlet yang telah terpilih berada dalam projek RTG menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.

Amarjit bersama pengamal media ketika majlis berbuka puasa di sebuah hotel terkemuka di Petaling Jaya, Selangor pada Jumaat. - Foto Bernama
Amarjit bersama pengamal media ketika majlis berbuka puasa di sebuah hotel terkemuka di Petaling Jaya, Selangor pada Jumaat. - Foto Bernama

Daripada keseluruhan 15 atlet tersebut, Azizulhasni dan Shah Firdaus merupakan dua pelumba berbasikal trek yang berada dalam senarai projek RTG.

Mengulas lanjut, Amarjit berkata, ketua jurulatih berbasikal trek, John Beasley sebelum ini berharap ketiga-tiga pelumba negara termasuk Fadhil disenaraikan.

“Jika mereka (Azizulhasni, Shah Firdaus dan Fadhil) boleh layak untuk acara pecut berpasukan pada Sukan Olimpik Paris, kita mempunyai tiga pelumba bagi acara itu.

“Proses kelayakan (Sukan Olimpik Paris 2024) hanya akan selesai tahun hadapan tetapi kita tidak mahu tunggu ia selesai, baru mahu masukkan atlet ke dalam projek RTG.

“Kita perlu jangka mereka layak dan masukkan dalam RTG serta beri segala bentuk sokongan tambahan diperlukan,” ujarnya yang juga Presiden Persatuan Berbasikal Perak.

Pada masa sama, Amarjit meminta RTG yang merupakan program tambahan kepada Program Podium sedia ada akan terus memberikan bantuan kepada pelumba negara dari segi penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Saya rasa yang paling penting ialah kelengkapan digunakan, pakaian dan sebagainya yang mampu memberikan bantuan dari aspek kelajuan dan catatan masa pada perlumbaan.

“Bantuan itu sememangnya sudah ada tetapi kita akan bincangkan dengan jurulatih dan atlet apa lagi yang mereka mahukan serta ajukan kepada KBS,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!