Peruntukan tambahan RM35 juta untuk PPR - PM
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM35 juta untuk memperluaskan pelaksanaan program Kita-Untuk-Kita (K2K) secara berperingkat sehingga 2024.
Anwar berkata, pelaksanaan program K2K itu melibatkan 10 PPR di Kuala Lumpur dan Selangor.
"Menyedari pentingnya usaha ini dilipatgandakan di lebih banyak kawasan perumahan awam, khususnya di sekitar Lembah Klang, sukacita saya umumkan peruntukan tambahan sebanyak RM35 juta.
"Program K2K juga akan melibatkan usahasama dengan kerajaan negeri Selangor.
"Insya-ALLAH, ikhtiar ini pastinya dapat memberi manfaat kepada lebih 50,000 warga PPR untuk menikmati kehidupan lebih sejahtera," katanya.
Beliau berkata demikian ketika Program K2K) di Blok C, PPR Kampung Baru Hicom, di sini, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Pada 24 Februari lepas, Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat berkata, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan memperuntukkan RM50 juta bagi memastikan keadaan yang selamat di PPR dengan keutamaan kepada menggantikan lif-lif usang.
Sementara itu, Anwar berkata, peruntukan sebanyak RM35 juta itu sudah diluluskan dan boleh dilaksanakan dalam kadar segera berikutan terdapat perumahan dikenal pasti mengalami masalah yang serius.
Menurutnya, beliau juga berbincang bersama Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) supaya mempercepatkan proses peruntukan berkenaan dengan tidak mengikut tender yang biasa dan (tempoh) panjang tetapi tender terhad.
Program K2K bertujuan memangkin sokongan terhadap komuniti perumahan awam dan pengurusan bangunan bagi menangani cabaran sosial, ekonomi dan fizikal melalui empat cabang kritikal, iaitu, pemerkasaan komuniti, pengurusan bersama komuniti, menambahbaik penjanaan pendapatan dan reformasi polisi.
Selain itu, Anwar menyatakan pelan struktur Kuala Lumpur yang baharu sepatutnya diluluskan pada bulan ini ditangguhkan sehingga akhir Mei depan supaya membolehkan beberapa pindaan dilaksanakan.
"Tumpuan kerajaan bagi memastikan projek berkenaan menekankan aspek kebersihan dan kehijauan selain mengambil kira soal keselesaan rakyat seperti gerai dan warung dengan mengikut standard antarabangsa iaitu bersih dan indah.
"Cadangan pindaan itu sudah pun diluluskan di peringkat pegawai tapi saya beritahu edarkan pelan tersebut supaya ahli politik, syarikat, pakar dan badan bukan kerajaan dapat bagi pandangan terakhir untuk kita baiki," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!