Polis nafi 'peragakan' pasangan kekasih semasa proses reman
JOHOR BAHRU - Polis Seri Alam menafikan pihaknya 'memperagakan' pasangan kekasih suspek yang melakukan perbuatan jelik di tempat awam semasa mereka mendapatkan proses reman di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat.
Keua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, dakwaan tersebut seperti yang tular dan dilaporkan sebuah portal berita pada Jumaat tidak benar sama sekali.
"Adalah tidak benar dua suspek yang dibawa ke mahkamah untuk proses reman 'diperagakan' (paraded) sebagaimana didakwa dalam laporan itu.
"Kedua-dua suspek bersama beberapa suspek lain dibawa dengan kenderaan polis ke Mahkamah Majistret Johor Bahru. Mereka kemudiannya dibawa berjalan melalui laluan lazim untuk ke mahkamah bagi proses reman," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Jelasnya, sepanjang perjalanan di laluan itu, anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam tidak mengatur mana-mana pihak atau jurugambar untuk berada di lokasi bagi membuat rakaman atau liputan semasa suspek-suspek dibawa untuk proeses reman.
Kata Mohd Sohaimi, pihaknya sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti sebarang pelanggaran prosedur sepanjang proses reman berkenaan.
Mohd Sohaimi mengulas laporan portal berkenaan yang menyiarkan berita bertajuk 'Unethical to handcuff, 'parade' 17 years girl in viral video, says Muda' yang memuatkan kenyataan Ketua Biro Hak Asasi Manusia Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Dobby Chew.
Pada Jumaat Mahkamah Majistret Johor Bahru memerintahkan pasangan kekasih yang didapati melakukan perbuatan jelik di tempat awam pada 29 Mac lalu direman dua hari bagi membantu siasatan.
Pasangan kekasih berusia 22 dan 17 tahun itu ditahan selepas rakaman video memaparkan perbuatan mereka di tempat letak kenderaan di kawasan Taman Kota Masai, Pasir Gudang, tular dalam media sosial.
Tangkapan dilakukan Bahagian Siasatan dan Jenayah (BSJ) IPD Seri Alam di kawasan Taman Johor Jaya di sini dan Taman Kota Masai, Pasir Gudang pada jam 4.15 petang hingga 5.15 petang, pada Khamis.
Dalam tangkapan berkenaan, polis turut merampas kereta Perodua Axia warna merah dan sehelai t-shirt berwarna putih.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!