UMNO takkan putus asa rayu pengampunan Najib

Saarani
Saarani
A
A
A

TAIPING - UMNO tidak akan berputus asa merayu pengampunan bagi membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, keputusan sebulat suara Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk membuat rayuan membuktikan parti itu tidak pernah berdiam diri.

Menurutnya, tindakan UMNO itu bukan bermaksud mendesak Yang di-Pertuan Agong untuk memberi pengampunan tersebut tetapi menyokong permohonan dibuat keluarga Najib.

"Di bawah sana, ahli-ahli UMNO ada tiga juta orang, bukan sahaja ahli UMNO, penyokong-penyokong UMNO dan rakyat Malaysia yang bersimpati dengan Datuk Najib mengadu digambarkan seolah-olah UMNO tidak berbuat apa-apa (membantu Najib). Sebenarnya kita pun bersimpati tetapi kita kena faham bahawa kita kena ikut lunas undang-undang.

"Kita ikut peruntukan perlembagaan selagi dibolehkan kita takkan berputus asa. Kita akan terus (merayu), cuma kita berdoa kalau dapat pengampunan sempena dengan hari raya tahun ini," katanya ketika ditemui pemberita sempena Majlis Perasmian Program Meriah Beraya Sejahtera Bersama Peringkat Negeri Perak Tahun 2023 di sebuah gedung pakaian di Kamunting di sini pada Sabtu.

MKT UMNO pada Jumaat telah membuat ketetapan untuk merayu pengampunan bagi bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan sebulat suara itu dibuat pada mesyuarat bulanan MKT UMNO yang berlangsung semalam.

Pada 31 Mac lalu, Najib tidak dibenarkan untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mengekalkan sabitan, hukuman dan denda terhadapnya berhubung kes menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd.

Berbekalkan majoriti 4-1, empat panel hakim menyokong untuk menolak rayuan Najib kerana tidak bermerit.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!