MAVCOM lulus 527 penerbangan tambahan sempena hari raya
SHAH ALAM - Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah meluluskan 527 penerbangan tambahan untuk musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Jumlah ini adalah 43 peratus lebih banyak berbanding kapasiti tambahan yang diluluskan pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun lepas.
MOT dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan, langkah itu bertujuan menampung permintaan yang tinggi.
Menurut kenyataan itu, selari dengan industri penerbangan antarabangsa, penetapan harga tiket biasa adalah berdasarkan mekanisme dinamik, di mana pembeli awal boleh mendapat harga terbaik apabila masih banyak lagi tiket belum terjual.
“Namun harga boleh menjadi mahal apabila baki tiket semakin berkurangan di pasaran. Sejak awal bulan Mac, MOT dan MAVCOM telah mengambil langkah proaktif dan menggalakkan syarikat penerbangan untuk menawarkan harga penerbangan berpatutan.
“MAVCOM telah meluluskan semua permintaan kapasiti tambahan oleh syarikat penerbangan yang menawarkan tambang tetap ke destinasi-destinasi utama dalam Malaysia.
“Berikutan kelulusan MAVCOM, syarikat penerbangan AirAsia dan Batik Air telah mengumumkan tiket penerbangan tambang tetap pada Mac 7 dan Mac 10,” menurut kenyataan itu.
MAVCOM turut meluluskan penerbangan-penerbangan tambahan lain untuk memastikan ketersediaan tempat duduk yang lebih tinggi dalam menangani peningkatan permintaan dan memastikan harga penerbangan berpatutan.
Tiket tambang tetap tersebut telah dijual dengan pantas malah, tiket tambang biasa turut menyaksikan kadar pembelian yang tinggi dan membawa kepada peningkatan harga bagi tiket yang berbaki.
“Memandangkan syarikat penerbangan bajet telah pun menambah kapasiti tetapi masih tidak cukup untuk menampung permintaan yang tinggi, maka MOT dan MAVCOM telah melaksanakan intervensi yang seterusnya.
“Susulan perbincangan bersama Malaysia Airlines Berhad (MAB), MAB telah bersetuju untuk meningkatkan kapasiti penerbangannya.
“Tambahan pada itu, 40 penerbangan berjadual MAB akan menggunakan pesawat berbadan lebar Airbus A330 (wide-body) bagi menampung permintaan bagi sektor Kuala Lumpur ke Kuching dan Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu,” kata kenyataan itu.
MOT memaklumkan, penambahan kapasiti itu telah membantu dalam menurunkan harga tambang sebelum ini.
Intervensi oleh MOT dan MAVCOM juga telah membawa kepada kelulusan kapasiti tambahan penerbangan domestik sebanyak 43.1 peratus lebih tinggi berbanding musim perayaan Hari Raya Aidilfitri pada tahun lepas.
“Setakat 5 April 2023, 527 penerbangan tambahan yang dimohon oleh syarikat-syarikat penerbangan telah diluluskan oleh MAVCOM.
“Ini merupakan tambahan kepada 5,617 penerbangan sedia ada yang telah dijadualkan untuk beroperasi dalam Semenanjung Malaysia, 2,149 antara Semenanjung Malaysia dan Sarawak serta 2,033 antara Semenanjung Malaysia dan Sabah yang akan dikendalikan oleh semua syarikat penerbangan dalam tempoh yang dinyatakan.
‘Kerajaan Malaysia berbesar hati melihat industri penerbangan telah menunjukkan iltizam dan sokongan bagi memudahkan pengguna pulang ke kampung halaman sepanjang tempoh Hari Raya Aidilfitri ini,” kata kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!