Dua maut kereta terbabas, terjunam masuk sungai
BATU PAHAT - Dua maut selepas kereta yang dinaiki terbabas dan merempuh papan tanda sebelum terjunam ke dalam Sungai Parit Kuari di Kilometer 6 Jalan Parit Botak, Ayer Hitam dekat sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Superintendan Ismail Dollah berkata, kejadian pada jam 6.30 pagi itu melibatkan kereta Proton Wira dipandu lelaki berusia 21 tahun dan penumpang lelaki berusia 22 tahun.
"Kemalangan berlaku semasa kereta itu datang dari Parit Tengah Parit Raja menghala ke arah Ayer Hitam, sampai di lokasi kejadian telah hilang kawalan serta terbabas ke sebelah kanan jalan dan terlanggar papan tanda jalan terus terjunam ke dalam sungai.
"Akibat daripada perlanggaran tersebut, pemandu dan penumpang yang merupakan warga tempatan tersepit di tempat duduk masing-masing," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa kemudian dikeluarkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam sebelum disahkan sudah meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurut Ismail, kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Sekiranya ada mana-mana saksi awam yang melihat kejadian tersebut boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Salmiah Mohamed menerusi talian 07-4327704," katanya.
Sementara itu, Komander Operasi dari BBP Ayer Hitam, Penolong Penguasa Bomba Mohd Shamin Mohamed Salikin berkata, seramai tujuh anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.
"Terdapat dua lelaki dewasa terperangkap dalam kereta itu ketika bomba sampai lokasi kejadian. Tindakan operasi mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas sehingga selesai.
"Kedua-dua mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pembantu pegawai perubatan yang hadir. Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!