Maritim Malaysia terima Kapal OPV 1 pada Julai
GEORGETOWN - Kelewatan menerima peralatan utama yang ditempah dari luar negara antara faktor menyebabkan Kapal Peronda Luar Pesisir pertama (OPV 1) gagal disiapkan dan diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengikut jadual ditetapkan.
Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, antara peralatan utama yang ditempah seperti meriam dari Turkiye dan bot dari United Kingdom.
Bagaimanapun, menurutnya hasil daripada lawatan mengejut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution ke tapak pembinaan Kapal OPV 1 di Limbungan TH Heavy Engineering (THHE) Berhad, Pulau Indah pada hujung Mac lalu mendapati kapal terbabit akan dapat disiapkan dan diserahkan kepada pihaknya pada Julai depan.
"Dalam mesyuarat bersama Menteri KDN baru-baru ini telah dibentangkan oleh pihak THHE tentang status kapal ini.
"Bagi kapal pertama OPV 1 kita jangka kapal ini diserahkan kepada Maritim Malaysia pada 24 Julai depan, manakala untuk OPV 2 dan 3 pula diserahkan pada hujung tahun ini dan awal tahun depan," katanya ketika ditemui media selepas melancarkan Op Khas Pagar Laut di perairan Batu Maung di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed.
Sebelum ini, bekas Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Mohd Zubil Mat Som melahirkan rasa kesal apabila tiada sebuah pun kapal OPV diterima pihaknya sehingga beliau bersara pada 16 Mac lalu.
Mohd Zubil berkata, mengikut perjanjian awal, dua buah OPV akan diserahkan tahun ini, namun perkembangan baharu menyatakan OPV 1 diserah pada Mac, manakala OPV 2 pula masih menjadi tanda tanya.
“Saya berasa sangat-sangat kecewa kerana persetujuan sudah dibuat bahawa sebuah kapal akan diserahkan pada Mac dan sekarang sudah nak habis bulan Mac.
“Saya tidak mahu orang melihat saya komen (keluarkan kenyataan) ini dan beranggapan saya berani bersuara kerana sudah nak bersara.
“Sehingga tempoh persaraan, sebuah kapal pun tidak diterima, cuba bayangkan saya dah nak pencen pun saya masih berjuang untuk dapatkan satu kapal," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!