'Pertemuan positif, jom kerja' - Hannah
SEPERTI diumumkan sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Penyelaras Road to Gold (RTG), Stuart Ramalingam telah mengadakan pertemuan dengan jaguh badminton profesional lelaki negara, Lee Zii Jia pagi tadi.
"Pagi ini, saya bertemu Lee Zii Jia, ia adalah pertemuan yang positif. Lee Zii Jia menyokong inisiatif RTG dan bersyukur kerana dimasukkan ke dalam projek nasional ini.
"Lee Zii Jia memberitahu saya dia sangat mahukan pingat emas pertama (Sukan Olimpik) Paris 2024 untuk negara. Inilah yang saya ingin dengar daripada atlet kita, ia bermula dengan keinginan meraih emas.
"Stuart akan berbincang lebih lanjut dengan ejen Lee Zii Jia (mengenai) butiran komitmennya terhadap RTG yang akan merangkumi koordinasi bimbingan dan sparring. Jom pergi kerja," kata Hannah di laman sosial Facebooknya.
Pada Jumaat, Hannah mengumumkan seramai 15 atlet daripada tiga acara sukan - berbasikal, badminton dan akuatik (terjun) disenaraikan dalam projek RTG menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.
Badminton mendominasi barisan atlet RTG apabila seramai 11 pemain dipilih, manakala dua pelumba berbasikal trek dan dua penerjun wanita turut berada dalam senarai.
Zii Jia diletakkan antara prospek yang mampu menjelmakan pingat emas buat Malaysia apabila namanya disenaraikan dalam projek Road to Gold (RTG) menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.
Selain Zii Jia, 10 lagi pemain badminton yang berada dalam senarai RTG termasuklah beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik;.Ong Yew Sin-Teo Ee Yi (beregu lelaki); Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita); serta dua wakil beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!