Maritim Malaysia aktifkan OP Khas Pagar Laut

Saiful Lizan (kanan) ketika meninjau OP Khas Pagar Laut yang diaktifkan semula sempena Aidilfitri tahun ini.
Saiful Lizan (kanan) ketika meninjau OP Khas Pagar Laut yang diaktifkan semula sempena Aidilfitri tahun ini.
A
A
A

GEORGETOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengaktifkan semula OP Khas Pagar Laut di seluruh perairan Malaysia terutama di kawasan titik panas (hotspot) sempena musim perayaan Aidilfitri pada tahun ini bermula 9 sehingga 30 April ini.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, operasi khas itu dilaksanakan bertujuan mengekang dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan khususnya dalam musim berkenaan.

“Penjenayah mungkin beranggapan penguatkuasaan undang-undang di musim perayaan agak longgar kerana sebahagian besar petugas keselamatan bercuti dan meraikan perayaan.

"Jadi mereka mengambil kesempatan melakukan aktiviti jenayah seperti membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI), penyeludupan kontraban dan barang-barang kawalan, pencerobohan, serta lain-lain jenayah berkaitan melalui jalan laut," katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Pelancaran Op Khas Pagar Laut di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed.

Saiful Lizan berkata, pihak Maritim Malaysia akan memperketatkan lagi kawalan serta mengoptimumkan pengoperasian di kawasan maritim negara terutama di sempadan Malaysia dan Thailand serta Indonesia.

Saiful Lizan (kiri) dan Abd Razak (kanan) ketika melancarkan OP Khas Pagar Laut sempena perayaan Aidilfitri 2023.
Saiful Lizan (kiri) dan Abd Razak (kanan) ketika melancarkan OP Khas Pagar Laut sempena perayaan Aidilfitri 2023.

“Sempena operasi pada kali ini, seramai 800 pegawai dan anggota penguat kuasa akan ditugaskan dengan kekuatan 45 buah pelbagai aset milik agensi bagi melaksanakan rutin rondaan dan penguatkuasaan di kawasan perairan negara.

"Maritim Malaysia turut bersiap sedia mengerahkan aset-aset berkenaan bagi melaksanakan tugas Carilamat sekiranya berlaku insiden kapal atau bot yang membawa penumpang asing dari negara ini untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut lebaran nanti,” katanya.

Pada tahun lalu, OP Khas Pagar Laut berjaya membuat 63 kes tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan seperti kemasukan PATI, penyeludupan dadah, mercun dan pencerobohan bot nelayan asing.

Jelasnya, keseluruhan hasil tangkapan pada operasi tahun lalu bernilai lebih kurang RM23 juta.

Untuk rekod, Op Khas Pagar Laut dilaksanakan setiap tahun bermula 2016 dan ini adalah tahun kelapan, melibatkan semua maritim negeri termasuk zon maritim.

Beliau berkata, bagi memastikan kejayaan operasi pada tahun ini, Maritim Malaysia turut memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah maritim dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim (POMAR) di talian 03-89434001 serta mana-mana Pusat Operasi Maritim (PUSOP) negeri yang berhampiran di seluruh negara atau menghubungi Malaysian Emergency Response Services di talian 999.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!