Anak mendiang MP Sandakan calon DAP PRK Sandakan

Vivian Wong Shir Yee. Foto Astro Awani
Vivian Wong Shir Yee. Foto Astro Awani
A
A
A

SANDAKAN - Anak mendiang Ahli Parlimen Sandakan Datuk Stephen Wong Tien Fatt, Vivian Wong Shir Yee diumumkan sebagai calon untuk PRK Sandakan atas tiket DAP.

Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di sini hari ini.

Shir Yee 30, berhasrat untuk meneruskan perjuangan mendiang bapanya untuk memajukan ekonomi Sandakan.

“Seperti mendiang bapa, saya akan selalu turun padang untuk memahami masalah rakyat tanpa mengira kaum.

“Saya yakin dengan kerjasama kerajaan baharu, Sandakan akan dapat dibangunkan dengan keseluruhannya dan saya akan menjadikan Sandakan satu kawasan yang dinamik,” katanya selepas diumumkan sebagai calon pada program ‘Townhall Bersama Rakyat’ di sini hari ini.

Shir Yee merupakan anak bongsu daripada empat beradik berkelulusan Sarjana Muda dalam Perhubungan Awam dari Universiti Murdoch, Australia dan terlibat dalam arena politik sejak 2012 menerusi DAP.

Anak kelahiran Sandakan itu, yang pernah bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Sung Siew di sini, menjadi pegawai khas bapanya ketika menjawat jawatan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah dan aktif dalam aktiviti sosial.

Kerusi Parlimen Sandakan kosong selepas Stephen Wong Tien Fatt meninggal dunia akibat serangan jantung pada 28 Mac lepas.

Artikel Berkaitan:

Penamaan calon ditetapkan pada 27 April ini, manakala hari pengundian awal pada 7 Mei dan hari mengundi pada 11 Mei. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!