MUFC bakal 'bernafas' semula?

Ab Rauf berkata, pihaknya sedang meneliti dan mengkaji pelbagai sudut termasuk merujuk kepada penasihat undang-undang untuk memulihkan kembali MUFC.
Ab Rauf berkata, pihaknya sedang meneliti dan mengkaji pelbagai sudut termasuk merujuk kepada penasihat undang-undang untuk memulihkan kembali MUFC.
A
A
A

DETIK hitam yang melanda Kelab Bola Sepak Melaka United (MUFC) seakan ada penghujungnya susulan usaha sedang dilakukan untuk mengembalikan pasukan Hang Tuah itu beraksi di Liga Malaysia.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pihaknya sedang meneliti dan mengkaji pelbagai sudut termasuk merujuk kepada penasihat undang-undang untuk memulihkan kembali pasukan tersebut yang sebelum ini 'terkubur' akibat masalah pembayaran gaji.

"Saya bukan nak beri jaminan namun saya sedang mengkaji, melihat dan meneliti isu MUFC ini dan sudah semestinya akan berusaha untuk memulihkan pasukan ini.

"Saya akan mengambil kesempatan yang ada untuk memulihkan MUFC, yang pastinya pasukan ini akan kembali beraksi seperti dahulu. Cuma tunggu sedikit masa," katanya kepada pemberita pada Majlis Tautan Kasih 2023 Universiti Melaka di sini pada Sabtu.

Pada September lepas, MUFC membuat kenyataan terbuka bahawa skuad terbabit disahkan disingkirkan daripada saingan Piala Malaysia susulan kegagalannya melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai.

Menurut MUFC, pihaknya mengambil maklum pembatalan slot Piala Malaysia 2022 oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berikutan isu gagal menyelesaikan bayaran tunggakan gaji mengikut tarikh ditetapkan itu. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!