Kalamullah akui perlu kerja keras hadapi JDT

Kalamullah (kanan) diberi kepercayaan mengalas tugas sebagai penjaga gol utama KDA FC pada musim 2023. - Foto KDA FC
Kalamullah (kanan) diberi kepercayaan mengalas tugas sebagai penjaga gol utama KDA FC pada musim 2023. - Foto KDA FC
A
A
A

PENJAGA gol utama Kedah Darul Aman (KDA) FC, Kalamullah Al-Hafiz mahu memperagakan aksi terbaik bagi menafikan setiap percubaan Johor Darul Ta'zim (JDT) menjelang aksi kelapan Liga Super 2023 pada malam Ahad.

Mengakui bakal berdepan tugas getir, dia perlu bekerja keras bersama barisan pertahanan Sang Kenari untuk mengekang asakan pendahulu Liga Super itu di Stadium Sultan Ibrahim.

"JDT sebuah pasukan hebat dan memiliki keupayaan menjaringkan gol dengan jumlah yang besar apabila berdepan mana-mana pasukan sebelum ini.

"Penguasaan melalui penyerang berkualiti mereka dalam beberapa perlawanan lalu menjadi perhatian semua pihak dan sudah pasti menjadi cabaran buat saya untuk lebih bersedia pada perlawanan ini," katanya mengulas perlawanan membabitkan pendahulu dan pasukan yang berada di tangga kedua Liga Super ini.

Kalamullah mengakui dirinya perlu mempersiapkan mental dan fizikal untuk berdepan JDT yang terbukti mempunyai rangkaian serangan yang tajam selepas menjaringkan 30 gol hanya dalam tujuh perlawanan Liga Super.

Menurutnya, kepercayaan jurulatih yang menurunkan pada perlawanan penting seperti ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk meningkatkan keupayaannya menjaga gawang KDA FC.

"Saya sentiasa berusaha memperbaiki prestasi pada setiap perlawanan sehinggalah semasa menentang Penang FC Rabu lalu.

"Seterusnya adalah berdepan JDT dan ini adalah ruang yang terbaik untuk saya buktikan kemampuan," ujar penjaga gol berusia 27 tahun ini lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!