Guardiola dedah faktor sisihkan Walker
MANCHESTER City terpaksa menyisihkan khidmat tonggak pertahanan, Kyle Walker sejak kebelakangan ini selepas pemain tersebut tidak berupaya mengikuti taktikal The Citizens.
Pengendali Manchester City, Pep Guardiola berkata, situasi itu menyebabkan pemain England tersebut terpaksa memanaskan bangku simpanan dalam dua perlawanan terakhir liga.
Sebagai rekod, Walker merupakan sebahagian daripada pertahanan City telah membuat 23 penampilan dalam semua kejuaraan musim ini, namun Guardiola memilih menggunakan John Stones ketika membelasah Liverpool, 4-1 dan kemenangan tipis 1-0 ke atas Crystal Palace.
Biarpun memuji rentak Walker, namun pengendali dari Sepanyol itu menegaskan pemain berusia 32 tahun tersebut tidak mempunyai ciri-ciri untuk bermain dalam peranan pelbagai - pertahanan bergerak masuk ke ruang tengah untuk mendominasi penguasaan bola.
“Dia tidak boleh melakukannya. Anda perlu mempunyai pergerakan tersendiri, namun dia tidak mempunyai ciri-ciri tersebut untuk bermain di dalam.
“Sebelum ini dia biasa bermain bek sayap dengan empat pemain di belakang. Dia melakukan dengan sangat baik, namun untuk bentuk tiga pemain di belakang dan dua pemain di tengah, dia tidak boleh melakukannya,” kata Guardiola.
Manchester City dijadualkan bertandang ke Stadium St Mary’s berdepan kelab tercorot Southampton dalam misi memberikan tekanan kepada pendahulu liga, Arsenal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!