Aura Benzema, Modric, Kroos masih diperlukan Real Madrid

Ancelotti menjangkakan trio Kroos, Modric dan Benzema akan melanjutkan tempoh khidmat di Stadium Santiago Bernabeu. FOTO: AGENSI
Ancelotti menjangkakan trio Kroos, Modric dan Benzema akan melanjutkan tempoh khidmat di Stadium Santiago Bernabeu. FOTO: AGENSI
A
A
A

PENGENDALI Real Madrid, Carlo Ancelotti menjangkakan trio Karim Benzema, Luka Modric dan Toni Kroos akan melanjutkan tempoh khidmat bersama juara La Liga itu dengan tawaran baharu selepas kontrak semasa masing-masing tamat pada penghujung musim ini.

Pemenang Ballon d'Or, Benzema, 35, dan Modric, pemain tengah Croatia berusia 37 tahun membantu Real memenangi lima kejuaraan Liga Juara-Juara, manakala bekas pemain antarabangsa Jerman, Kroos, 33, memenangi empat kejuaraan.

Walaupun Modric dan pemain tengah Kroos kurang bermain musim ini, bekas penyerang Perancis Benzema adalah penjaring terbanyak Real dengan 25 gol dalam semua pertandingan.

Ancelotti berkata, kelab itu sedang berbincang dengan ketiga-tiga pemain tersebut mengenai tawaran baharu berkenaan.

“Saya fikir mereka akan kekal. Kami perlu menilai pemain bukan mengikut umur tetapi dengan apa yang mereka lakukan.

“Anda boleh fikir mereka bertiga tidak mempunyai profil fizikal atau tenaga seperti pemain muda, tetapi apa yang mereka ada dari segi pengurusan permainan adalah unik, anda tidak boleh membelinya di mana-mana pasaran dunia.

“Ini dilahirkan dengan pengalaman - usia mengambil sesuatu daripada anda, tetapi ia memberi anda sesuatu kembali juga,” kata Ancelotti.

Sebagai rekod, Real kini berada di tangga kedua dengan 59 mata, 12 mata di belakang pesaing dan pendahulu Barcelona, akan melayan pasukan tangga keenam, Villarreal di Stadium Santiago Bernabeu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!