Tindakan polis gari remaja bawah umur tidak beretika, kata Muda

Laporan Sinar Harian pada Jumaat mengenai pasangan kekasih berusia 22 dan 17 tahun yang direman dua hari.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat mengenai pasangan kekasih berusia 22 dan 17 tahun yang direman dua hari.
A
A
A

SHAH ALAM - Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menyifatkan layanan polis terhadap gadis berusia 17 tahun yang ditahan kerana disyaki melakukan perbuatan jelik dalam kenderaan di Pasir Gudang, Johor pada minggu lalu sebagai perbuatan tidak beretika.

Pengarah Biro Hak Kemanusiaannya, Dobby Chew berkata, ia merujuk kepada perbuatan polis yang menggari, memakaikan pakaian reman terhadap remaja terbabit serta membenarkan gambar kedua-dua suspek dalam keadaan sedemikian dikongsi secara bebas.

“Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani mesti memberi penjelasan berhubung kelakuan pasukan polis dalam penangkapan, penahanan dan publisiti kes itu.

“Mesti ada peraturan dan perintah yang jelas melibatkan layanan terhadap kanak-kanak bawah umur, dan sebarang pelanggaran oleh pegawai penangkap mesti diambil tindakan tegas,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, pasangan kekasih berusia 22 dan 17 tahun itu ditahan selepas rakaman video memaparkan perbuatan mereka di tempat letak kenderaan di kawasan Taman Kota Masai, Pasir Gudang, tular di media sosial.

Tangkapan dilakukan Bahagian Siasatan dan Jenayah (BSJ) IPD Seri Alam di kawasan Taman Johor Jaya dan Taman Kota Masai, Pasir Gudang pada jam 4.15 petang hingga 5.15 petang, pada Khamis.

Dalam pada itu, ujar Dobby, Muda menggesa agar media segera mengalih keluar sebarang imej dan gambar yang mengenal pasti pesalah juvana berkenaan dan orang ramai diminta supaya menghentikan pengedaran bahan berkaitan.

“Akta Kanak-Kanak 2001 menyediakan peraturan yang jelas mengenai layanan terhadap pesalah juvana.

“Seksyen 83A(1) secara jelas menyatakan bahawa kanak-kanak tidak boleh digari melainkan ia merupakan kesalahan yang melibatkan jenayah berat atau terdapat percubaan untuk menentang atau mengelak daripada ditangkap.

“Tidak ada tanda-tanda bahawa kedua-dua orang itu dalam apa cara sekalipun melakukan kesalahan berat atau menentang penangkapan," katanya.

Menurutnya, laporan media bersama paparan gambar suspek dilihat mengabaikan kebajikan dan hak mereka yang terlibat terutama di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

“Muda turut menggesa orang ramai tidak berkongsi imej dan gambar pesalah juvana serta meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) masuk campur dan mengarahkan perkongsian itu ditarik semula kerana ia membabitkan remaja bawah umur," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!