Mun Yee tubuh akademi terjun, mahu lahirkan juara Olimpik
BEKAS penerjun negara, Datuk Leong Mun Yee berharap dapat melahirkan juara Sukan Olimpik pada masa depan menerusi penubuhan akademinya, 'DLMY x DSA' (DSwim Academy) pada Sabtu.
Mun Yee, yang teruja dapat merealisasikan impian menubuhkan akademi tersebut, berkata, tidak mustahil baginya membentuk juara pada temasya sukan terbesar itu kerana atlet sukan terjun sememangnya perlu dibentuk sejak dari kecil lagi.
"Penubuhan akademi ini secara tidak langsung dapat dijadikan sebagai platform pencarian bakat bagi peringkat umur lima hingga 12 tahun. Saya juga mengalu-alukan sesiapa yang berumur 12 tahun ke atas untuk menyertainya dan lebih baik lagi jika mereka ada latar belakang sukan gimnastik, trampolin mahupun balet.
"Diharapkan lebih ramai penerjun muda dapat dilahirkan, seterusnya memastikan sukan terjun lebih maju pada masa depan dan menyumbang emas pertama negara dalam Sukan Olimpik,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran akademi "DLMY x DSA” oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil di sini.
Pencapaian tertinggi skuad terjun negara pada Sukan Olimpik meraih pingat perak pada edisi Rio 2016 di Brazil menerusi gandingan ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong dalam acara 10 meter platform seirama wanita.
Dalam pada itu, Olimpian negara sebanyak lima kali itu turut berterima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara, Perbadanan Stadium Malaysia serta DSA atas sokongan diberikan dalam usahanya mencungkil bakat baharu sukan terjun menerusi akademi itu.
Ditanya bagaimana membahagikan masa di akademi dan tugasnya sebagai pembantu jurulatih skuad negara, Mun Yee berkata, beliau akan memastikan segala program yang diaturnya di akademi itu berjalan lancar kerana tugas melatih peserta dikendalikan bekas jurulatih negara, Agnus Wong dan jurulatih skuad pelapis kebangsaan, Richard Carlyse.
Sementara itu, Hannah berharap lebih ramai ibu bapa mengambil inisiatif menghantar anak mereka ke akademi ‘DLMY x DSA’ kerana Malaysia berpotensi melahirkan bintang terjun pada masa akan datang.
"Dengan adanya program terjun ini ia akan melengkapkan latihan di DSA kerana mereka juga mempunyai program renang, jadi kepada kanak-kanak yang tahu berenang mereka boleh sertai juga akademi ini,” katanya.
Terdapat dua kelas ditawarkan oleh akademi itu, iaitu kelas permulaan serta pertengahan dan ke atas dengan pendaftaran sebanyak RM120 manakala yuran bulanan pula RM630 sebulan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!