PBB digesa tidak tutup mata isu pencerobohan Masjid Al-Aqsa
KUANTAN - Kerajaan negeri Pahang mengecam dan mengutuk tindakan biadab pasukan polis Israel ke atas rakyat Palestin di Masjid Al-Aqsa pada 5 April lalu.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tindakan dilakukan rejim Zionis itu jelas tidak berperikemanusiaan dan tidak menghormati hak penduduk Palestin untuk beribadat di Masjid Al-Aqsa pada bulan Ramadan.
Menurutnya, tindakan Israel itu akan menimbulkan ketegangan di Palestin dan seluruh umat Islam kerana Masjid Al-Aqsa merupakan antara tempat suci bagi umat Islam.
"Kejadian seperti ini sering kali berlaku ketika pendatang haram Yahudi meraikan perayaan Pesach (Passover) apabila mereka dengan biadabnya akan cuba untuk menceroboh masuk ke Masjid Al-Aqsa.
"Justeru saya menzahirkan sokongan terhadap ketetapan Kerajaan Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa khususnya Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar tidak menutup mata terhadap isu ini," katanya melalui satu kenyataan pada Sabtu.
Wan Rosdy berkata, tindakan biadab seumpama itu sering kali berlaku berlaku ke atas rakyat Palestin dan ia jelas melanggar hak asasi kemanusiaan.
"Saya juga berharap seluruh umat Islam terutamanya di negara ini dapat menunjukkan solidariti terhadap nasib yang menimpa rakyat Palestin.
"Semoga Allah SWT terus memberikan kekuatan serta ketabahan kepada mereka dalam menghadapi ancaman serta tindakan biadab rejim Zionis itu," katanya.
Kejadian menimpa umat Islam Palestin itu berlaku sedang mereka menunaikan solat Tarawih di masjid berkenaan sebelum polis Israel melakukan serangan menggunakan gas pemedih mata dan belantan sehingga menimbulkan kekecohan.
Dalam kejadian itu, hampir 400 penduduk Palestin ditahan dan ramai yang mengalami cedera.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!