Pasangan kekasih berkelakuan jelik: MP tawar khidmat guaman
JOHOR BAHRU - Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse sedia menawarkan perkhidmatan guaman secara pro-bono kepada pasangan kekasih yang tular kerana didakwa melakukan perbuatan jelik di dalam kereta, baru-baru ini.
Naib Pengerusi PKR Johor itu berkata, pihaknya akan mengunjungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, pada Ahad untuk mendapatkan butiran mengenai status terkini kes terbabit.
"Saya dan peguam Tan Chia Wei telah berjumpa dengan pasangan yang terlibat dan keluarga mereka di Pusat Khidmat pada jam 12 tengah hari, Sabtu untuk memberi nasihat dan bantuan guaman pro-bono.
"Selepas mendengar cerita daripada pasangan tersebut, saya berpandangan jika mereka disabitkan bersalah, ia akan membawa impak yang negatif terhadap mereka
"Mereka kini disiasat bawah seksyen 377D Kanun Keseksaan, jika disabit bersalah, hukuman adalah penjara tidak melebihi dua tahun, sementara orang di bawah 18 tahun pula akan dihantar ke sekolah pemulihan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Bagaimanapun ujarnya, dari segi moral tidak dinafikan bahawa apa yang dilakukan adalah kurang sesuai, tetapi untuk dikenakan hukuman penjara terhadap pasangan tersebut adalah terlalu berat.
"Selain daripada insiden tersebut, kita juga dimaklumkan bahawa pihak yang merakam video tersebut telah menyamar sebagai anggota polis.
"Pihak perakam juga cuba meminta IC (Mykad) daripada pasangan dan bila mereka enggan mengikut arahan, mereka diugut oleh pihak perakam. Mereka pun cuba melarikan diri, tetapi dikejar oleh pihak perakam sehingga mereka tiba di Balai Polis Pasir Putih," katanya.
Pasangan kekasih yang tular di media sosial kerana melakukan perbuatan jelik dalam kenderaan ditahan polis di dua lokasi berbeza, pada petang Khamis.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, rakaman kejadian tersebut berlaku pada jam 3.03 petang, 29 Mac lalu dan tular di TikTok baru-baru ini.
Jelasnya, penahanan membabitkan seorang lelaki berusia 22 tahun dan seorang perempuan berusia 17 tahun.
Sebelum itu, tular satu rakaman berdurasi 23 saat yang merakamkan perbuatan jelik kedua-dua individu berkenaan di dalam sebuah kenderaan.
Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Jumaat memerintahkan pasangan kekasih berkenaan direman dua hari bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!