'Tauke' warga asing diberi masa 6 bulan keluar dari Pasar Besar Klang

Noraini Roslan (tengah) ketika melakukan pemeriksaan di Pasar Besar Klang. - Foto MPK
Noraini Roslan (tengah) ketika melakukan pemeriksaan di Pasar Besar Klang. - Foto MPK
A
A
A

KLANG - Majlis Perbandaran Klang (MPK) memberi tempoh enam bulan kepada peniaga-peniaga warga asing yang berniaga di Pasar Besar Klang di sini untuk menghentikan operasi mereka di pasar berkenaan.

Keputusan itu dibuat Yang Dipertua MPK, Noraini Roslan selepas melihat jumlah warga asing yang menguasai lokasi itu sehingga ada yang dilihat bergelar diri mereka sebagai 'tauke'.

Meskipun ketika pemeriksaan rata-rata warga asing mengaku mereka hanya 'kuli' di situ dan mempunyai majikan, namun, katanya, penyamaran yang dilakukan oleh pihak penguat kuasa itu sebelum ini mendapati gerai-gerai berkenaan diurus sepenuhnya mereka dan tiada penglibatan warga tempatan.

"Kita tidak mempunyai sebarang masalah untuk warga asing bekerja di pasar ini selepas mengambil kira kekurangan tenaga pekerja yang dihadapi oleh beberapa peniaga di situ.

"Cuma kami kesal apabila terdapat peniaga mengambil kesempatan dengan mengamalkan sistem ali baba tapak niaga mereka," katanya kepada pemberita selepas pemeriksaan di sini pada Jumaat.

Pemeriksaan tersebut turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan Masyarakat, Pekerja dan Kerajaan Prihatin Selangor yang juga Ahli Parlimen Klang, V Ganabatirau.

Mengulas lanjut, Noraini berkata, tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana warga asing jika didapati masih menjalankan perniagaan di pasar itu selepas tempoh berkenaan.

"Jadi saya beri masa kepada peniaga yang buat kegiatan ini supaya hentikan segera sebelum kita ambil tegas terhadap mereka.

"Gunakan peluang yang ada di sini untuk menjalankan perniagaan sendiri. Kalau nak gajikan warga asing, MPK tiada masalah,” tegasnya.

Dalam perkembangan sama, Noraini berkata, MPK akan melakukan penambahbaikan kemudahan dan struktur Kompleks Pasar Besar Meru bagi memudahkan urusan perniagaan.

"Kita akan fokus kepada kerja-kerja penambahbaikan seperti mengganti parit rosak, memasang penutup longkang, menukar lantai konkrit, memasang jubin serta membina tandas awam di blok-blok yang telah dikenal pasti," jelasnya. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!