Rayuan pengampunan Najib: 'Biar Lembaga Pengampunan tentukan'

Najib
Najib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak dan UMNO perlu diberi peluang untuk membuat rayuan pengampunan diraja dan seterusnya menerima keputusan yang dibuat Lembaga Pengampunan.

Ini kerana, menurut penganalisis politik, Mazlan Ali, setiap individu bersalah berhak berbuat demikian sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Perlembagaan Persekutuan meletakkan hak, jaminan kepada seseorang yang didapati bersalah. Sebab soalnya, mestilah kita letak kepercayaan kepada Lembaga Pengampunan.

"Lembaga Pengampunan adalah satu badan yang sangat teliti menimbang keputusan untuk mengatakan setuju atau tidak berdasarkan fakta yang ada," katanya.

Namun, menurut Mazlan, rayuan pengampunan diraja terhadap Najib bagaimanapun dijangka berdepan rintangan memandangkan bekas Perdana Menteri itu masih mempunyai banyak kes mahkamah yang lain.

"Najib berada dalam situasi yang sangat mencabar kerana kes-kes mahkamah beliau masih banyak dan masih berjalan itu kemungkinan akan menyebabkan rayuan beliau akan menghadapi rintangan," katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.

Malah, jika Najib turut didapati bersalah dalam kes-kes lain yang dihadapinya, maka pemimpin itu akan terus berdepan cabaran meskipun mendapat sokongan penuh UMNO, Perdana Menteri dan Kerajaan.

"Penentuan dibenarkan atau tidak bergantung kepada Lembaga Pengampunan yang akan melihat isu-isu dan akan mendapat nasihat daripada Peguam Negara yang arif tentang kesan undang-undang dan perlembagaan," tambah beliau.

Beliau mengambil contoh kes mahkamah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diberi pengampunan diraja selepas menjalani hukuman dan Perdana Menteri itu tidak mempunyai kes-kes lain di mahkamah.

"Dalam kes yang lepas, individu salah dan pertimbangan Agong adalah mereka yang sudah jalani hukuman dan tidak ada kes-kes lain di mahkamah.

"Misalnya Anwar sendiri yang diberi pengampunan oleh Agong setelah disokong Lembaga Pengampunan, serta setelah dijatuhkan hukuman dan tidak ada kes lain di mahkamah," kata Mazlan.

Tambahnya, rakyat perlu bersikap rasional dengan memberi peluang kepada UMNO serta pemimpin itu membuat rayuan dan Lembaga Pengampunan akan menimbang dari semua aspek sebelum membuat sebarang keputusan.

"Jadi, beri peluang kepada UMNO dan Najib sebagaimana mengikut perlembagaan untuk mereka mencuba dan kita meletakkan kepada Lembaga Pengampunan untuk memberi pertimbangan yang sewajarnya," ujarnya lagi. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!