Atasi masalah kesesakan di pejabat pengeluaran pasport
GEORGETOWN - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengenal pasti 21 pejabat pengeluar pasport yang mengalami kesesakan luar biasa ketika beroperasi terutamanya di kawasan Lembah Klang.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, bagi mengatasi masalah itu kerajaan mengambil keputusan untuk melanjutkan operasi perkhidmatan termasuk membuka pejabat pada hari Sabtu dan Ahad.
Menurutnya, kesesakan luar biasa itu berlaku berikutan peningkatan mendadak permohonan pasport baharu iaitu empat kali ganda sepanjang tempoh pasca pandemik Covid-19.
"Sejurus selepas perintah kawalan pergerakan ditamatkan permohonan untuk mendapatkan pasport Malaysia meningkat mendadak sehingga empat kali ganda yang mendorong kepada kesesakan yang teruk terutama kepada pejabat pengeluar pasport di Lembah Klang.
"Sebanyak 2.8 juta permohonan pasport yang kita terima dalam tempoh itu dan kesesakan itu menyebabkan gelisah kepada masyarakat...Jadi beberapa mekanisme akan diambil bagi mengatasi masalah berkenaan,"katanya selepas menghadiri majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar KDN Madani di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Beliau berkata, selain melanjutkan tempoh operasi, Jabatan Imigresen akan memulakan projek rintis dengan mengambil beberapa langkah untuk mengurangkan kesesakan yang berlaku.
Jelasnya, antara mekanisme lain beberapa pejabat pengeluar pasport yang akan dijadikan lokasi untuk mengambil pasport sahaja selepas ia dipohon menerusi dalam talian.
Selain itu, katanya, Jabatan Imigresen juga akan menggantikan mesin cetak sedia ada di pejabat pengeluar pasport dengan mesin cetak berkapasiti tinggi.
"Pada masa kini kita menggunakan mesin pencetak yang mampu mencetak 450 buku pasport sehari dan selepas ini ia akan digantikan dengan mesin baharu yang mampu mencetak lebih 1,000 pasport sehari.
"Kita nampak ruang untuk penambahbaikan dari segi mesin cetak juga namun semua ini akan diperhalusi sebelum ia dilaksanakan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!