Bakar kereta, dua lelaki ditahan
SEREMBAN - Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes kebakaran sebuah kereta dalam kejadian pada awal pagi Sabtu di Taman Seremban Jaya di sini.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, sebelum itu, pada hari sama jam 11.49 pagi pihaknya menerima satu laporan daripada seorang lelaki berusia 19 tahun mengenai keretanya terbakar hampir 50 peratus.
"Kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 pagi ketika mangsa meletakkan kereta di hadapan rumahnya di Taman Seremban Jaya.
"Hasil siasatan mendapati seorang lelaki membaling sesuatu disyaki cecair mudah terbakar ke arah kereta tersebut dan melarikan diri. Bagaimanapun pihak kami masih menjalankan siasatan punca kejadian itu," katanya.
Nanda berkata, susulan itu, polis membuat tangkapan ke atas dua lelaki berusia 17 dan 22 tahun bagi tujuan siasatan dan perintah reman terhadap kedua-dua suspek akan dipohon di Mahkamah Majistret Seremban pada Ahad.
"Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!