WUIF sasar satu bilion tanda pagar QuranHour
SHAH ALAM - Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) melalui penganjuran World #QuranHour menyasarkan satu bilion tanda pagar (#) QuranHour dari seluruh dunia pada acara terbesar yang bakal berlangsung pada 30 Mei akan datang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, World #QuranHour yang memasuki tahun keempat penganjurannya mahu mencapai sasaran itu hasil sinergi bersama rakan media lain.
“Tahun lalu World #QuranHour berjaya mengumpulkan lebih 646 juta #QuranHour dari seluruh dunia melibatkan 60 buah negara dan 214 hotspot.
“Tahun ini dengan sinergi media daripada pelbagai organisasi diharap ia dapat lebih mempromosikan World #QuranHour kepada seluruh umat Islam, baik di dalam negara mahupun luar negara,” katanya pada Majlis Pelancaran dan Taklimat Sinergi Media Malaysia sempena World #Quran Hour 1444H/2019 di Kompleks Media Karangkraf di sini, semalam.
Pada majlis itu, lebih 12 organisasi media cetak dan elektronik hadir menyatakan komitmen mereka untuk bersinergi bagi mempromosikan program tersebut sebagai satu momentum kempen menggalakkan umat Islam mendekati al-Quran dengan konsep baca, faham dan amal.
Sinar Harian adalah antara organisasi media tersebut selain Utusan Malaysia, Kosmo, Bernama, The Star, Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), Astro Awani, Astro Naura, Kumpulan Media Prima, TV AlHijrah serta WUIF sebagai sekretariat kempen.
Mengulas mengenai promosi yang sepatutnya dilakukan organisasi media yang bersinergi untuk World #QuranHour, beliau berkata, media boleh berperanan memasukkan bahan kempen di media masing-masing.
“Asalkan objektifnya mahu mengimarahkan lagi majlis pada 30 Mei depan dan turut mengajak semua orang berinteraksi dengan al-Quran walau di mana berada.
“Selain itu, media perlu meneruskan solidariti kempen termasuk #MyQuranHour sepanjang tahun dan mempromosikan Sahabah al-Quran di seluruh dunia,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!