Gua Musang sesak: Perantau boleh guna jalan lain - JPJ
KOTA BHARU - Perantau yang pulang untuk berhari raya di Kelantan masih mempunyai beberapa pilihan jalan bagi mengelakkan kesesakan di Gua Musang.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim berkata, jabatan itu akan bekerjasama dengan polis melalui operasi yang akan dilaksanakan pada musim perayaan.
"Tular di media sosial mengenai kesesakan yang dijangka berlaku di Gua Musang dan Kuala Krai selepas jalan ditutup.
"Kita akan bekerjasama dengan polis untuk menyuraikan lalu lintas dan saya menyeru pengguna jalan raya jangan hanya bergantung kepada laluan itu kerana ada beberapa laluan lain untuk balik kampung di Kelantan termasuk Simpang Pulai dan Lebuh Raya Pantai Timur," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak Yatim di sini pada Sabtu.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Ir Mohd Suhaili Ismail memaklumkan, laluan Gua Musang akan mengalami kesesakan yang lebih teruk ketika perantau pulang menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Penutupan jalan baharu dari simpang hospital sehingga jambatan Taman Damar itu bertujuan memberi kelancaran trafik pada waktu berkenaan.
Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) kini memasuki laluan FT2747 di bawah pelaksanaan sub pakej 3BC dan 3D melibatkan kerja-kerja menaik taraf jalan dan pemasangan cerucuk jambatan
Dalam perkembangan sama, Zailani turut memaklumkan cuti kesemua anggota JPJ dibekukan bagi membolehkan operasi berterusan untuk memastikan sifar keselamatan pengguna jalan raya.
"Pergerakan semua anggota sudah dimaklumkan dan operasi akan dilaksanakan sebelum, semasa serta selepas Hari Raya Aidilfitri," katanya.
Selain itu, beliau memberitahu, sepanjang tempoh perayaan, hanya lori komersial yang berkaitan keperluan makanan dan utiliti dibenarkan berada di jalan-jalan utama negara bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
"Kita akan bersama polis untuk memastikan kemalangan sifar terutama melibatkan pengangkutan awam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!